SATU demi satu kisah duka episod cinta Lombok dipaparkan di dada akhbar. Ia kini tidak hanya melibatkan remaja, malah golongan janda dan isteri orang juga terkena panahan cinta jejaka Lombok. Ini tidak harus dipandang remeh dan tidak harus dikategorikan sebagai isu terpencil. Persoalan yang melibatkan institusi kekeluargaan merupakan satu persoalan besar.
Kita tidak harus melihat daripada aspek kes-kes jenayah berat sahaja kerana isu-isu yang kita labelkan kecil boleh menyumbang kepada sesuatu yang di luar jangkaan jika tidak dibendung di peringkat awal.
Bukankah mencegah lebih baik daripada mengubati? Modal insan merupakan teras dalam usaha transformasi yang ingin dilakukan oleh kerajaan, namun jika institusi keluarga yang melahirkan modal insan bercelaru, pasti usaha kerajaan akan terbantut.Sesuatu perlu dilakukan sebelum keadaan menjadi semakin parah. Cadangan kerajaan untuk mewujudkan pangkalan data bagi memantau warga asing merupakan satu langkah yang baik.
Kita menyedari ibu bapa tidak menginginkan anak-anak mereka melakukan tindakan di luar pemikiran logik akal, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Begitulah bebanan yang ditanggung oleh keluarga yang terbabit dalam episod panahan cinta jejaka Lombok. Apa yang telah berlaku biarlah berlalu, sebaliknya kita mengambil iktibar daripada apa yang berlaku agar kes wanita Malaysia lari mengikut 'abang Lombok' tidak berulang.
Berdasarkan kes-kes yang berlaku sebelum ini, kebanyakan gadis-gadis ini didekati oleh pemuda Lombok ketika mereka masih di bangku sekolah. Apabila mereka berumur 18 tahun ke atas, abang- abang Lombok mula mengorak langkah dengan mengajak gadis yang menjalin cinta dengan mereka untuk berkahwin dan tinggal di kampung asal mereka di Lombok.
Bayangkanlah jika mereka bercinta seawal usia 15 tahun, ini bermakna mereka telah menjalin hubungan cinta sekurang- kurangnya empat tahun. Dalam tempoh itu, pastinya sudah cukup untuk pemuda Lombok menguasai fikiran anak gadis dengan pujuk rayu mereka kerana remaja lebih mempercayai orang yang dicintai daripada orang yang menyayangi mereka iaitu ibu bapa. Persoalannya bagaimana anak-anak gadis ini mudah didekati jejaka Lombok?
Dalam membendung anak-anak daripada terjebak dengan panahan cinta Lombok, orang yang paling tepat untuk melakukan sesuatu adalah ibu bapa. Selaku tonggak keluarga tentunya peranan ibu bapa amat ditagih. Tentu ibu bapa dapat membaca gelagat, tingkah laku dan pergerakan anak-anak apabila dilamun cinta kerana salah satu petanda orang yang dilamun cinta biasanya mereka akan menunjukkan tingkah laku yang 'luar biasa'. Ibu bapa yang berniaga kedai makan di kawasan yang dihuni oleh ramai jejaka Lombok perlu mengawal anak gadis mereka agar tidak didekati, apatah lagi menjalin hubungan cinta. Sememangnya bercakap itu lebih mudah daripada bertindak, namun jika ibu bapa tidak bertindak terlebih dahulu, siapa lagi yang kita harapkan?
Walaupun tidak ada statistik tepat mengenai jumlah wanita Malaysia lari mengikut jejaka Lombok, namun lebih daripada 47 kes yang berlaku perlu diberi perhatian oleh kerajaan. Skuad Sayang yang dilancarkan baru-baru ini mungkin paling tepat untuk menggerakkan usaha mendekati golongan wanita.
1 comment:
Golongan remaja seharusnya tidak mudah terpedaya dengan janji manis rakyat seberang. sebagai seorang yang waras x seharusnya mereka membuat keputusan tanpa memikirkan kesan yang akan terjadi jika mereka memilih untuk ikut rakyat seberang.
Post a Comment