• RENCANA
Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@nstp.com.my
Lagu kebangsaan lambang kemuliaan, kemerdekaan bangsa berdaulat
SEKALI lagi sikap segelintir warga Indonesia menjadi tumpuan massa apabila mereka mengejek lagu Negaraku ketika pusingan kelayakan Piala AFC Futsal di Jakarta, minggu lalu. Dalam masyarakat bertamadun, lagu kebangsaan sesebuah negara adalah lambang kemuliaan dan kemerdekaan bangsa yang berdaulat. Lagu kebangsaan, seperti juga bendera negara adalah simbol harga diri yang dijamin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai wakil kehadiran sesebuah wilayah di persada dunia. Mengejek lagu kebangsaan, apatah lagi sebelum ini memijak dan membakar Jalur Gemilang adalah tindakan provokatif yang sukar dimaafkan.
Tindakan tidak bertamadun itu juga berpunca daripada sikap iri hati segelintir rakyat Indonesia terhadap pencapaian ekonomi dan taraf hidup rakyat Malaysia – antara yang tertinggi di rantau Asia Tenggara. Pada era rejim 'orde' lama pimpinan Sukarno, Malaysia dianggap sebagai adik kecil yang perlukan bantuan dan perlukan bimbingan 'abang besar' untuk menentukan hala tuju negara. Namun pencapaian Malaysia yang mendadak pada era pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad (1981-2003) menyebabkan ada pihak yang rasa tergugat dan mencetuskan pelbagai isu remeh semata-mata untuk menutup sikap rendah diri mereka. Ego 'abang besar' tercabar dan 'adik kecil' kini sudah menjadi kuasa ekonomi penting dalam pelbagai sektor.
Aksi penyokong Indonesia yang tidak menghormati lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku ketika pasukan kebangsaan menentang Vietnam pada pertandingan pusingan kelayakan Piala AFC Futsal di Jakarta itu, menyebabkan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) didenda AS$5,000 (RM17,006). Tindakan itu diambil oleh Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) selepas Pengurus Pasukan Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin membuat bantahan rasmi mengenai kejadian kerana kelakuan itu mencemarkan maruah sesebuah Negara. Walaupun Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Andi Malarangeng memohon maaf berhubung kejadian itu, tindakan keterlaluan sudah dilakukan oleh segelintir rakyat jiran dan ia bukan kali pertama terjadi.
Ketika isu tarian tradisional Bali memuncak gara-gara salah lapor agensi penyiaran antarabangsa yang tidak membabitkan Malaysia, tunjuk perasaan dan isu ganyang Malaysia disuarakan secara lantang di Jakarta dan Medan. Pemimpin tertinggi Indonesia juga memohon maaf untuk kesekian kalinya. Kini insiden menghina Malaysia berulang dan pihak Indonesia sekali lagi memohon maaf. Apakah nilai kemaafan terlalu kecil bagi mereka? Tidakkah mereka menyedari betapa Malaysia selama ini lubuk emas bagi jutaan rakyat Indonesia mencari rezeki di sini?
Tidakkah mereka menyedari bahawa 70 peratus daripada tenaga kerja asing di Malaysia datangnya dari Indonesia? Mereka, sama ada datang secara halal atau haram, turut menjadi tenaga kerja yang prolifik, bukan saja membantu ekonomi Malaysia, bahkan membawa pulang wang yang tinggi setiap bulan kepada negara asalnya. Bagi mereka yang enggan mengerti sikap baik hati Malaysia harus ingat betapa negara ini juga sering menjadi mangsa jenayah hasil tindakan tidak beradat segelintir rakyat negara jiran. Kira-kira 60 peratus daripada bilangan banduan rakyat asing di beberapa penjara pula membabitkan rakyat Indonesia.
Mereka perlu faham adat berjiran dan bernegara serta mengelakkan tindakan yang tidak menguntungkan kedua-dua pihak. Malangnya sudah ada beberapa tokoh politik dan badan bukan kerajaan (NGO) di Jakarta mula bersuara isu liwat membabitkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ada yang merancang untuk mengutip tanda tangan dan menyuarakan bantahan secara rasmi pada peringkat antarabangsa. Mereka bersuara lantang dan mempersoalkan sistem kehakiman yang dikatakan tidak bebas di Malaysia. Mereka juga kerap menyinggung isu kemanusiaan, kebebasan media dan hak demokrasi yang kononnya tidak wujud di sini. Sikap keterlaluan mereka perlu diawasi kerana amalan sistem bernegara menghalang mana-mana pihak mencampuri urusan negara lain. Semangat perpaduan Asean perlu dihayati dan jangan isu terpencil menyebabkan hubungan dua negara tegang.
Sikap songsang segelintir warga Indonesia bukan isu baru. Mereka pernah mempergunakan wartawan Terry Friel yang menulis dalam Sunday Age Australia pada 14 Julai 1991, yang antara lain menyebut: "Malaysia bukan negara tetangga yang baik. Ia bukan saja bergaduh dengan Australia, bahkan dengan semua jirannya." Rencana itu juga menyebut kenyataan seorang menteri yang menggelarkan Dr Mahathir sebagai 'That Little Sukarno'. Penyiaran rencana itu pula dirancang ketika menjelang persidangan Pergerakan Negara Berkecuali di Jakarta. Kenapa tarikh itu dipilih? Kenapa ketika sidang di Jakarta dikaitkan dengan imej buruk pemimpin Malaysia?
Hari ini serangan demi serangan terhadap Malaysia begitu berleluasa. Meskipun Sukarno Kecil sudah tujuh tahun meninggalkan tampuk kekuasaan, imej negara ini begitu lantang diperkatakan dengan wajah hitam dan konotasi luar biasa. Bermula dengan Memula Moon, Terang Bulan, lagu Rasa Sayang Eh, kebudayaan Bali, batik, sate, orang gaji dan entah apa lagi, ia terlalu mudah untuk membakar semangat khalayak membenci Malaysia dan warganya. Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dibaling telur tembelang dan Jalur Gemilang yang dikatakan meniru bendera Amerika Syarikat, dipijak sebelum dibakar.
Media juga terus berperanan untuk mendedahkan keburukan sebuah bangsa yang dikatakan gemar mencuri kebudayaan negara tetangganya. Wartawan juga tanpa silu meninggalkan etika kewartawanan untuk menulis mengenai sebuah negara bernama MALINGSIA!
Sebuah portal berita menuduh kes penyeludupan dadah ke wilayahnya sebagai usaha terancang Malaysia yang sering melupakan persaudaraan serumpun. Tanpa sebarang penyelidikan, wartawan terus menghukum tanpa mengambil kira perasaan dan kemanusiaan. Di manakah kewarasan dua negara serumpun?
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Rencana/
2/3/10
No comments:
Post a Comment