Showing posts with label penyakit. Show all posts
Showing posts with label penyakit. Show all posts

Friday, April 19, 2013

santau oh santau

baru-baru ni pakcik saya sakit. mula-mula tau dia ada kencing manis. lepas tu siap muntah darah. bawa pergi hospital Dr. cakap penyakit TIBI.

tapi yg peliknya kenapa setiap kali time maghrib n sebelum subuh mesti sakit teruk. lain macam ja..

dah tak tau nk wt pe lg... so fmly bawa pergi jumpa bomoh gak la.
CAM X PECAYA LEPAS TU KELUAR KACA N RAMBUT  KT KAKI PAK CIK.. (dia ckap kena santau)

klau x keluar kaca 2 memg x mgkin la saya nak pecaya... tapi x logik juga la klau sebab penyakit TIBI je sampai keluar kaca ikut kaki kan?

kita ni sesama manusia.. ada akal, ada hati dan yang penting ada agama. klau ada salah silap bukan ke lebih baik bawa berbincang.

hati2 la.. kalau yang Islam 2 boleh la amalkan ayat ni.. moga2 mampu jadi pendinding diri kita drpd santau.




Wednesday, December 28, 2011

penyakit kadiovaskular

Berita Harian Online | Negara berisiko 'muflis' jika gagal tangani kos rawatan penyakit NCD

Oleh Ratinawati Rasidi
ratinawati@bharian.com.my
2011/12/29

MASYARAKAT pernah beranggapan penyakit kadiovaskular, khususnya jantung dan strok, diabetes dan kanser ialah penyakit 'orang kaya' tetapi ternyata ia tidak seperti yang difikirkan.

Malah, golongan berpendapatan rendah dikatakan lebih terdedah kepada risiko kerana cara dan gaya pilihan hidup yang boleh mengundang penyakit terbabit.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggap penyakit tidak berjangkit atau Non-Communica-ble Diseases (NCD) ini sudah menjadi wabak iaitu satu penularan penyakit peringkat global yang perlu ditangani segera dengan berkesan.
NCD juga dikatakan penyebab kematian pramatang (usia di bawah 60 tahun) utama di dunia, terutama dalam kalangan penduduk negara membangun dan produktif dalam ekonomi.

Dianggarkan 25 peratus daripada sembilan juta kematian pramatang peringkat global itu sebenarnya boleh dicegah seandainya pesakit mengambil langkah pencegahan.

Penyakit yang tidak merebak daripada seorang individu kepada individu lain ini, berpunca daripada perkongsian tiga faktor risiko utama seperti gaya hidup yang tidak aktif, pemakanan yang tidak sihat dan budaya ketagihan rokok.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Feisul Idzwan Mustapha, berkata penduduk kawasan luar bandar berdepan dengan risiko yang lebih tinggi berbanding bandar.
“Risiko sebenarnya lebih tinggi dalam kalangan golongan berpendapatan rendah kerana mereka lebih cenderung membelanjakan wang untuk pembelian makanan yang tidak sihat, tidak bersenam dan lebih buruk lagi kebanyakan mereka sukar meninggalkan tabiat merokok,” katanya, baru-baru ini.

Selain peringkat global, penyakit NCD menjadi penyebab utama kematian pramatang di Malaysia sejak 1990-an lagi.

Statistik kematian akibat penyakit NCD di hospital kerajaan sejak 2000 hingga 2008 meningkat daripada 10,053 kes kepada 17,175 kes membabitkan kematian di bawah usia 60 tahun.

Fakta Kesihatan 2010 Kementerian Kesihatan menggariskan 10 punca utama kemasukan ke hospital, dua jenis penyakit yang mempunyai kaitan dengan NCD adalah penyakit berkaitan sistem pernafasan (9.56 peratus) dan sistem peredaran darah (6.88 peratus).

Kedua-dua penyakit ini juga ialah antara dua punca teratas daripada 10 penyebab kematian di hospital kerajaan yang masing-masing mewakili 25.35 peratus dan 18.46 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian yang dicatatkan.

Apa yang menjadi kebimbangan kementerian ialah kedudukan Malaysia yang tersenarai sebagai 10 negara yang mempunyai kewujudan penyakit diabetes tertinggi antara negara membangun di dunia. Kini dianggarkan kira-kira satu daripada lapan rakyat dewasa Malaysia menghidap diabetes dan hampir satu daripada tiga menghidap tekanan darah tinggi.

Jumlah ini secara keseluruhannya mewakili anggaran 700,000 pesakit diabetes yang mendapatkan rawatan di lebih 800 kemudahan kesihatan kerajaan.

Dr Fiesul Idzwan berkata, keadaan yang amat kritikal ini bukan saja menyumbang kepada peningkatan jumlah pesakit tetapi ia juga bakal menambah perbelanjaan kerajaan terutama dalam membekalkan ubat-ubatan untuk merawat pesakit.

Peruntukan yang besar juga bakal mendatangkan kesan kepada perbelanjaan kerajaan kerana tidak mustahil akan menjadikan negara berhadapan dengan risiko muflis jika keadaan ini tidak ditangani dengan bijak.

Kewujudan diabetes dan ‘hypercholesterolaemia’ meningkat melebihi jangkaan. Apa yang menjadi kebimbangan ialah jumlah individu yang masih belum mendapatkan pemeriksaan doktor. Ini membuktikan masih ramai rakyat Malaysia tidak menjalani pemeriksaan saringan kesihatan secara tetap dan berkala.

Tuesday, December 13, 2011

radang paru-paru atau pneumonia

Berita Harian Online | Pembunuh si kecil

Sikap kurang peka ibu bapa terhadap radang paru-paru boleh ragut nyawa anak

SABAN tahun, serangan radang paru-paru atau pneumonia membunuh kira-kira 1.4 juta penduduk dunia terutama kalangan kanak-kanak yang turut menjadi penghidap utama penyakit itu.
Angka berkenaan menunjukkan kehilangan nyawa akibat pneumonia adalah melebihi kematian yang disebabkan penyakit berbahaya lain seperti AIDS, malaria dan tuberkulosis atau tibi.
"Ada kes seorang penghidap kanak-kanak yang baru saja hampir sembuh selepas menerima rawatan, kembali kritikal dan meninggal dunia apabila ibu bapanya mengambil tindakan sambil lewa dengan menghantarnya ke tadika, walaupun dia sepatutnya diberi rehat mencukupi. - Dr Yong Junina Fadzil, Pakar Pediatrik
Di Malaysia, statistik Kementerian Kesihatan membuktikan, pneumonia berada pada kedudukan kelima penyakit pembunuh tertinggi kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

Pneumonia adalah penyakit yang disebabkan jangkitan virus, kuman atau bakteria ke bahagian paru-paru seseorang dan biasanya, ia banyak dihidapi golongan kanak-kanak dan tua.

Awalnya, selepas dijangkiti virus, kuman atau bakteria, seseorang akan mengalami simptom-simptom pneumonia seperti batuk serta selsema sebelum ia merebak ke dalam sistem pernafasan dan menyerang paru-paru.

Pakar Perubatan Kanak-Kanak, Dr Yong Junina Fadzil, berkata penyakit itu perlu dikesan dan dirawat secepat mungkin bagi mengelaknya menjadi serius sehingga boleh meragut nyawa.
Bagaimanapun, katanya, di negara ini, kesedaran masyarakat terutama golongan ibu bapa berhubung penyakit berkenaan adalah masih terlalu rendah ekoran tiada kefahaman meluas seperti dalam konteks memahami simptom, kepentingan rawatan dan langkah pencegahan.

“Kekurangan pengetahuan ini menyebabkan mereka tidak menyedari bahaya penyakit berkenaan atau kepentingan mendapatkan rawatan awal, sekali gus meningkatkan jumlah kematian tahunan akibat masalah kesihatan itu.

“Pneumonia mempunyai banyak simptom antaranya demam panas, batuk berkahak atau tanpa kahak, sakit dada, tiada selera makan, rasa tidak sihat, sering merengek (bayi dan kanak-kanak), pernafasan laju, susah bernafas, muntah dan cirit-birit.

“Jika anda atau ahli keluarga anda mengalami satu atau lebih daripada simptom ini, ia mungkin pneumonia. Usah bertangguh, sebaliknya segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan pandangan dan rawatan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan ‘Meningkatkan Kesedaran Masyarakat Di Negara Ini Berhubung Pneumonia,’ bersempena Hari Pneumonia, baru-baru ini. Usaha itu diperkenalkan Gabungan Global menentang Pneumonia Kanak-Kanak yang dianggotai 125 badan bukan kerajaan, pertubuhan amal, institusi akademik, agensi kerajaan dan beberapa yayasan bagi menggalakkan tindakan masyarakat dunia di dalam usaha menentang, merawat serta mengelakkan jangkitan penyakit berkenaan.

Dr Yong Junina berkata, pengalamannya mengendalikan kes Pneumonia dalam kalangan kanak-kanak menunjukkan sikap ibu bapa yang menganggap simptom dialami anak mereka itu tidak berbahaya, menjadi punca pesakit tidak dapat dirawat awal sehingga menemui kematian.

“Kebanyakan ibu bapa yang membawa anak mereka ke klinik saya tidak tahu dan tidak menunjukkan kebimbangan apabila saya memberitahu anak mereka diserang pneumonia. Malah mereka menganggap ia masalah kesihatan ringan.

“Ada kes yang mana seorang penghidap kanak-kanak yang baru saja hampir sembuh selepas menerima rawatan, kembali kritikal dan meninggal dunia apabila ibu bapanya mengambil tindakan sambil lewa dengan tetap menghantarnya ke tadika, walaupun dia sepatutnya diberi rehat mencukupi terlebih dulu.

“Perlu diingatkan yang penyakit ini disebabkan banyak faktor seperti persekitaran kotor, lokasi terlalu sesak, tempat berhabuk, cuaca buruk, ketahanan sistem imunisasi tubuh rendah atau penyakit dibawa individu sekeliling, jadi pesakit perlu 'dikuarantin' dari semua keadaan ini sehingga benar-benar sembuh,” katanya.

Jelas Dr Yong Junina, dari kaedah rawatan, ada beberapa cara berkesan yang akan digunakan pegawai perubatan dalam mengatasi penyakit dihidapi.

“Bagi pneumonia yang disebabkan virus, doktor hanya akan memberikan ubat pil dan penghidap harus rehat dan minum air secukupnya kerana sistem imunisasi badan akan memainkan peranan dalam merawatnya.

“Jika penyakit dialami tidak serius dan disebabkan bakteria, doktor akan membekalkan antibiotik dan ubat tetapi sekiranya jangkitannya serius, penghidap akan diberikan ubat melalui suntikan,” katanya.

Namun, bagi kes lebih serius, penghidap akan dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan bantuan rawatan lanjut seperti bekalan oksigen dan antibiotik.

Baginya, seperti kata pepatah ‘mencegah lebih baik daripada mengubati,’ usaha untuk mengelakkan jangkitan penyakit ini adalah paling penting berbanding merawatnya.

Bagi tujuan itu, masyarakat perlu menjalani gaya hidup sihat, mengutamakan kebersihan diri, mengamalkan penyusuan susu ibu kepada bayi, tidak berada di kawasan sesak, menutup hidung ketika cuaca buruk apabila keluar rumah dan sentiasa mementingkan kesihatan sekeluarga.

“Sekiranya anda, ahli keluarga atau anak anda mengalami simptom pneumonia, segera dapatkan nasihat atau rawatan doktor bagi memastikan tahap kesihatan anda tidak menjadi semakin buruk,” katanya.

“Lebih penting, pada waktu yang diperlukan atau dinasihatkan doktor seperti jika anda ingin melancong atau pulang dari sesebuah lokasi luar negara, dapatkan vaksin seperti Pertussis (Tibi), Vaksin Measles (Demam Campak), Vaksin Influenza atau Vaksin Pneumococcal.

“Vaksin ini berupaya meningkatkan sistem imunisasi tubuh anda bagi mencegah sebarang jangkitan penyakit,” katanya.

radang paru-paru atau pneumonia

Pembunuh si kecil
Oleh Faizatul Farhana Farush Khan
bminggu@bharian.com.my
2011/11/20

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pembunuhsikecil/Article/index

INFO Pneumonia
Golongan berisiko:

  • Kanak-Kanak terutama pada usia lima tahun dan ke bawah
  • Dewasa terutama pada usia 65 tahun dan ke atas
  • Mempunyai tahap sistem ketahanan badan rendah seperti pembawa HIV/Aids
  • Penghidap masalah kesihatan yang kronik
  • Individu di kawasan sesak atau kotor
  • Masyarakat atau penduduk di kawasan tidak membangun atau miskin

    Simptom
  • Demam panas
  • Batuk berkahak atau tanpa kahak
  • Sakit dada
  • Tiada selera makan
  • Rasa tidak sihat
  • Sering merengek (bayi dan kanak-kanak)
  • Pernafasan laju atau tercungap-cungap
  • Sukar bernafas
  • Muntah
  • Cirit-birit

    Antara langkah pencegahan
  • Menjalani gaya hidup sihat
  • Mengutamakan kebersihan diri
  • Mengamalkan penyusuan susu ibu
  • Elak di kawasan sesak
  • Menutup hidung ketika cuaca buruk.
  • Friday, April 8, 2011

    Polikarbonat rosakkan hormon

    Utusan Malaysia Online - Kesihatan

    ARKIB : 03/04/2011



    BARU-baru ini Kementerian Kesihatan mengharamkan penggunaan bahan polikarbonat untuk menyimpan susu mahupun sebagai botol susu. Pengharaman tersebut kerana bahan polikarbonat dikenal pasti boleh merosakkan hormon manusia.

    Adalah sukar bagi para saintis mengumpulkan data dan penjelasan yang terperinci kerana kerosakan hormon tidak dapat dikenal pasti dalam tempoh waktu yang singkat. Kefahaman dan pengetahuan mengenai isu itu masih samar walaupun kita telah melihat bukti-bukti jelas kerosakan hormon pada badan kita. Dengan kata lain kita telah melihat gejala kerosakan hormon yang sangat berleluasa namun penjelasan bagi masalah ini masih samar.

    Berdasarkan statistik penyakit berkaitan hormon yang bertambah setiap tahun menunjukkan ia perlu dibendung segera. Keputusan kerajaan mengharamkan polikarbonat sebagai bekas simpanan susu bayi merupakan langkah yang baik.

    Hormon merupakan bahan semula jadi yang terhasil di seluruh tubuh kita. Setiap hormon mempunyai fungsi yang unik dan tersendiri. Sebagai contohnya hormon metabolik membantu membakar makanan dan membolehkan makanan digunakan sebagai tenaga. Hormon ini membolehkan tubuh badan kita mendapat tenaga yang diperlukan. Jika hormon metabolik rendah maka seseorang itu pasti mempunyai tenaga yang rendah, cepat letih fizikalnya namun mampu bertahan dengan tenaga yang dihasilkan oleh hormon stres.

    Apabila satu hormon rosak atau berkurangan maka tubuh akan bergantung kepada hormon lain pula sebagai bahan bagi mendapatkan tenaga. Ini menjadikan seseorang itu mempunyai personaliti dan ciri-ciri tenaga yang pelbagai bergantung kepada hormon yang dominan.

    Signal hormon

    Hormon bertindak dengan stimulasi atau pun dikenali sebagai signal hormon. Apabila kita makan makanan yang banyak gula, kelenjar hormon insulin akan mengesan paras gula yang tinggi. Signal yang dikesan adalah paras gula. Kelenjar hormon akan merembes hormon insulin yang kemudiannya menukarkan gula kepada tenaga. Tenaga ini akan digunakan oleh tubuh badan kita. Apabila kita berpuasa paras gula menjadi rendah dan ini dianggap sebagai signal oleh kelenjar hormon glucagon. Ia mengeluarkan hormon glucagon bagi menukar lemak kepada gula. Ini mewujudkan keseimbangan.

    Hormon tiroid bekerja mengurai lemak dan memastikan tubuh tidak menyimpan lemak yang berlebihan. Namun apabila rosak ia tidak mampu lagi memberi respons kepada signal daripada tubuh.

    Selain dari tubuh dan makanan, hormon juga saling bertindak antara satu sama lain. Kehadiran hormon cortisol (hormon stres) akan diseimbangkan dengan hormon tiroid (metabolisme). Begitu juga hormon-hormon lain yang berinteraksi dengan baik bagi menjamin kesihatan tubuh badan.

    Growth Hormone (GH) misalnya berfungsi dalam tumbesaran tubuh badan bayi kepada dewasa. Dalam tubuh dewasa pula GH berfungsi mengekalkan kesegaran dan ketegapan tubuh. Seseorang yang kurang GH akan merasa lesu, kurang gembira dan tubuhnya mula mengecut, dengan kata lain proses penuaan menjadi lebih cepat.

    Melatonin pula yang dihasilkan kelenjar pineal merupakan anti oksidan yang hebat bagi semua sel tubuh kita. Melatonin juga memberikan tidur yang lena. Jika kelenjar hormon melatonin gagal berfungsi dengan baik maka seseorang itu akan mendapat insomnia.

    Polikarbonat mempunyai struktur kimia yang mampu menyamai struktur hormon dalam tubuh kita. Struktur yang sebegini bebas bergerak menuju ke arah kelenjar hormon kita membuatkan kilang hormon menjadi keliru. Dengan kata lain kehadirannya menyerupai hormon manusia dan membuatkan kepekaan kelenjar hormone kita menjadi berkurangan. Dengan kehadiran bahan polikarbonat yang kerap dan begitu banyak akhirnya akan merosakkan kelenjar hormon. Kerosakan membuatkan ia gagal mengeluarkan hormon yang diperlukan dengan tepat.

    Kerosakan hormon akan jelas kelihatan sewaktu alam dewasa dan jarang sekali dilihat sewaktu kecil. Bayi yang diserang kerosakan hormon akan membesar menjadi orang dewasa yang obes atau pun mempunyai pelbagai masalah kesihatan yang lain.

    Di dalam keghairahan kita mengejar arus kemajuan dan mengamalkan pembungkus plastik setiap hari wujud pula masalah baru yang menjadi misteri kepada kita. Statistik menunjukkan jumlah peningkatan dalam penyakit kanser, jantung, obesiti, buah pinggang dan lain-lain.

    Kehadiran penyakit ini memberi impak yang sukar dalam kehidupan kita. Ia menelan kos rawatan yang tinggi sekali gus mengurangkan kualiti kehidupan.

    Untuk mencapai tahap kesihatan yang baik, kita perlu prihatin dan menyokong usaha kerajaan. Kita juga mesti memberi nasihat kepada ahli keluarga terutamanya anak-anak kecil agar tabiat pemakanan dan penggunaan plastik dalam makanan dan minuman seharian dapat dibendung.

    Friday, August 20, 2010

    Guna antibiotik secara rasional

    Berita Harian Online
    Oleh Syuhada Choo Abdullah
    2010/08/20


    KUALA LUMPUR: Penggunaan antibiotik dengan sewenang-wenang dalam rawatan penyakit boleh mengakibatkan bakteria dalam badan pesakit mengalami evolusi genetik yang menjadikannya memiliki lebih ketahanan, sekali gus kebal terhadap ubat berkenaan. Antibiotik perlu digunakan secara rasional mengikut garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan serta dikemas kini setiap lima tahun bagi mengelakkan masalah berkenaan. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata bukan semua rawatan penyakit memerlukan antibiotik tetapi terdapat pesakit mendesak doktor memberikan antibiotik kerana menyangka mereka akan sembuh lebih cepat sedangkan ia tidak semestinya berlaku.

    Pesakit dan doktor diingatkan kewujudan gen baru dikenali sebagai New Delhi metallo-beta-lactamase (gen NDM-1) yang memberi lebih ketahanan atau kekebalan kepada bakteria untuk melawan antibiotik, termasuk antibiotik kuat jenis carbapenem. Evolusi gen baru bakteria itu dikaitkan dengan salah guna antibiotik dan perkembangan berkenaan semakin membimbangkan dunia perubatan antarabangsa kerana gen NDM1 sudah dikesan di India, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Sweden, Australia serta Belanda, katanya ketika dihubungi di sini semalam.

    Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Hasan Abd Rahman, pula menjelaskan penggunaan antibiotik yang tidak sepatutnya atau tanpa mengikut sukatan ditetapkan akan menyebabkan bakteria yang terdedah kepada ubat itu tetapi bertahan, bertindak balas melindungi diri melalui evolusi genetik yang mampu melawan antibiotik.

    Katanya, bakteria dengan gen NDM1 satu daripada banyak bakteria yang boleh mengakibatkan jangkitan dalam perut dan paru-paru, justeru penggunaan antibiotik yang menepati garis panduan adalah amat penting untuk mengelakkan bakteria lain daripada turut mengalami evolusi genetik dan menjadi kebal. Sebagai contoh, ada pesakit tidak mematuhi dos antibiotik ditetapkan, terutama tidak menghabiskannya. Ini menyebabkan bakteria tidak mati dan selepas terdedah kepada suatu antibiotik itu, ia ada peluang untuk `belajar melawan balik ubat berkenaan melalui evolusi genetik. Perkara sama turut berlaku apabila ada pesakit mengambil ubat antibiotik yang sebenarnya tidak diperlukan. Oleh itu, harus diingatkan bahawa ada antibiotik yang khusus untuk membunuh bakteria tertentu mengikut jenis penyakit, katanya.

    Sementara itu, Persatuan Perubatan Doktor Utama Malaysia mendedahkan ada pesakit yang bertindak mendapatkan antibiotik di farmasi atau kedai ubat alternatif apabila doktor enggan melayan permintaan mereka untuk mendapatkan ubat berkenaan. Presidennya, Dr Molly Chuah, berkata doktor tidak boleh dipersalahkan keseluruhannya berhubung isu pemberian antibiotik kerana ada pesakit yang bersikap mendesak atau mendapatkannya sendiri daripada sumber lain.

    Tuesday, July 27, 2010

    RM2.4 juta pulih kanak-kanak kurang zat

    Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

    KUALA KRAU 26 Julai - Kementerian Kesihatan memperuntukkan sebanyak RM2.4 juta bagi memulihkan 77,659 kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang mengalami kekurangan zat makanan di seluruh negara pada tahun ini.

    Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, peruntukan itu disediakan di bawah Program Pemulihan Kanak- Kanak Kekurangan Zat Makanan tahun ini untuk memastikan kanak-kanak di negara ini mencapai pertumbuhan optimum.

    Katanya, dari 2000 hingga 2009, terdapat seramai 130,888 kes kanak-kanak kekurangan zat makanan di seluruh negara.

    ''Daripada jumlah itu, 53,229 kes telah diberikan bantuan makanan berzat dan hasilnya 24.3 peratus daripada mereka berjaya dipulihkan.

    ''Pada tahun lalu sahaja, 2,882 kanak-kanak kekurangan zat makanan di Semenanjung turut menerima bantuan makanan iaitu 45.9 peratus daripada mereka adalah anak Orang Asli," katanya.

    Beliau berucap sempena lawatan kerja dan penyampaian bakul makanan kepada penduduk Orang Asli di Kampung Penderas dekat sini hari ini.

    Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Pengurusan Kementerian Kesihatan, Datuk Ahmad Shafii Saidin.

    Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar.

    Menurut Rosnah, status pemakanan kanak-kanak di bawah umur lima tahun di negara ini berada pada tahap baik iaitu 93 peratus dan mempunyai berat badan normal.

    Bagaimanapun, tambahnya, data klinik menunjukkan anak Orang Asli di bawah umur lima tahun berada pada tahap sederhana iaitu 73 peratus dan tidak mencapai piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    Kata beliau, mengikut WHO bagi sesebuah negara membangun, peratusan kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang mempunyai berat badan normal mestilah melebihi 90 peratus.

    Sehubungan itu, kata Rosnah, Kementerian Kesihatan akan terus menyalurkan bantuan kepada pihak yang layak dan memerlukan bagi memastikan hasrat kerajaan untuk melihat generasi sihat dan cemerlang berjaya dicapai pada masa akan datang.

    ''Kementerian Kesihatan telah menjalankan pelbagai aktiviti dan promosi kesihatan termasuk melalui Kempen Cara Hidup Sihat. ...diharapkan orang ramai memberi sokongan terhadap usaha yang dijalankan Kementerian Kesihatan kerana hampir semua penyakit boleh dicegah melalui amalan gaya hidup sihat.

    Sunday, July 18, 2010

    Kanak-kanak gemuk mudah kena diabetes

    http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kanak-kanakgemukmudahkenadiabetes/Article

    2010/07/18
    KUALA LUMPUR: Masalah diabetes atau kencing manis membabitkan kanak-kanak dan remaja negara ini lebih ketara di kalangan mereka yang mengalami obesiti atau kegemukan.

    Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Putrajaya, Dr Fuziah Md Zain, statistik 2006 hingga 2008 di negara ini menunjukkan 630 kanak-kanak dan remaja menghidap diabetes dan sebahagian daripada mereka sudah mula menerima suntikan insulin sejak berusia setahun
    “Masalah diabetes di kalangan kanak-kanak tidak datang sendiri malah sering dikaitkan dengan masalah kegemukan atau obesiti semakin meningkat. “Pada 2006 saja, 5.4 peratus pelajar sekolah mengalami masalah obesiti dengan nisbah seorang bagi setiap pelajar di Kuala Lumpur saja.

    “Penyakit ini tidak akan pulih, tetapi ia masih boleh dikawal dibantu amalan disiplin dari segi pemakanan dan amalan gaya hidup sihat dan semangat kuat,” katanya merasmikan program Kem Diabesiti 1Malaysia 2010 anjuran Jabatan Pediatrik Hospital Putrajaya di Zoo Negara, di sini, semalam.

    Kem kesihatan yang disertai 60 peserta mengalami obesiti dan diabetes ini dianjurkan sejak tiga tahun lalu.

    Ia direka khusus untuk kanak-kanak berusia 6 hingga 18 tahun yang mengalami masalah obesiti ataupun diabetes

    Thursday, July 15, 2010

    penyakit oh penyakit

    cuti sem 2 banyak kes keluarga tak sihat dan asyik sakit ja.

    Permulaan kisah cuti sem bermula dengan mak sakit dua minggu terjatuh di bilik air. Kiranya hari pertama pulang mak dah 5 hari sakit teruk jga la tak boleh bagun berjalan. kata mak "biasa la umur lama". waktu tu mesin basuh rosak kesian betul dekat adik dan diri sendiri basuh baju keluarga menggunakan tenaga 4 kerat ja.

    Lepas dua hari mak sihat, adik lelaki pula masuk hospital untuk buang besi yg dipelihara selama 4 tahun dekat bahagian kakinya.emmm... nak buat apa lagi tak kan nak pelihara sampai tua pula kan. Katanya kaki dia akan berasa sakit seperti disambar petir apabila hari hujan dan waktu guruh kilat. Dia kemalangan waktu tingkatan 3 semasa nak balik dari rumah rakan untuk berbincang tentang kerja sekolah.Dia masuk hospital 5 hari. Lepas 3 hari di hospital baru doktor buang besi dan lepas tu I tinggal kat sana juga 2 malam.

    Kesian tengok dia tak boleh nak bergerak kaki tu. Nak buang air kecil atau besar perlu guna bekas khas dan semua tu dibuat atas katil tu juga la. Cuba bayangkan susah kan. Soal sakit lepas buang besi tu boleh dikatakan dalam satu malam dia boleh tidur dalam dua hingga 3 jam saja. jadi kepada insan-insan yang teringin nak merempit atau menggunakan jalan raya sesuka hati tu berfikir dua atau tiga kali la. Bukan best pun kalau patah sana sini tu. Dalam masa seminggu juga la dia tak dapat bergerak.

    Dua hari lepas dia boleh berjalan semula, adik bongsu yang berumur 9 tahun pula asyik sakit bahagian dada. Disebabkan rasa risau sebab adik selalu sakit mak membawa dia berjumpa dengan doktor pakar. Doktor cakap adik mungkin ada penyakit jantung dan setelah pemeriksaan lanjut adik mengalami masalah dengan bahagian injap dan jantung dia sedikit bengkak.Selain tu, adik juga ada penyakit kolestrol tinggi. Adik perlu makan ubat setiap malam dan boleh dikatakan dalam tempoh 7 bulan sekolah pada tahun ni lebih dari 40 hari dia tak pergi sekolah. Dalam seminggu mesti ada saja hari dia tak ke sekolah sakit. doktor nasihatkan dia makan makanan kukus dan bakar senang cakap yang tak berlemak dan kurang minyak.

    Apa yang penting waktu sihat jaga la kesihatan dan pemakanan anda. Adik tu waktu sihat dulu tiap-tiap hari kalau tak ada ayam jangan mimpi la nak makan nasi. petang-petang ayah mesti bawa dia pergi beli ais or ayam or makanan ringan yang tak berkhasiat tu. Sayang sangat. Moralnya...
    Tak salah kalau ibu bapa nak manjakan anak bongsu atau semuanya sekali tapi ingat la jangan sampai kerana sayangkan anak tak bertempat akhirnya anak sendiri dapat sakit atau berlaku sesuatu yang tak diingini


    Monday, April 19, 2010

    Potensi anak Sindrom Down

    Berita Harian Online | Potensi anak Sindrom Down

    Potensi anak Sindrom Down
    Oleh Lailetaty A Rahman
    bminggu @bharian.com.my
    2010/03/21

    Anak-anak Sindrom Down diberi pendidikan awal bagi meningkatkan kemahiran komunikasi mereka.
    Anak-anak Sindrom Down diberi pendidikan awal bagi meningkatkan kemahiran komunikasi mereka.
    Sokongan, pendidikan awal mampu serlah kebolehan si kecil istimewa

    Ini kerana, selain mempunyai hati dan perasaan, penghidap SD ini juga sebenarnya mampu dibantu untuk pulih ke tahap paling maksimum dan menjalani kehidupan seperti insan normal lain. Syaratnya, mereka haruslah diberi pendedahan dan pendidikan awal pada usia seawal mungkin.
    Apakah yang dimaksudkan dengan sindrom down ini? Berbanding individu normal yang memiliki 23 pasang kromosom, kanak-kanak SD ini pula memiliki tiga kromosom pada pasangan kromosom yang ke 21 dan ini yang membuatkan mereka dilahirkan sebagai anak istimewa.
    "Masih ada ibu bapa yang enggan membawa anak mereka keluar dari rumah. Perkara berlaku kerana ibu bapa perlu memberi ruang kepada anak ini"

    Angie Heng
    Pengarah Pentadbiran
    Pusat Kebangsaan Yayasan
    Sindrom Down Kimanis
    Dan tarikh 21 Mac itu dipilih sebagai melambangkan keistimewaan 21 kromosom penghidap sindrom ini. Di Malaysia saja, dianggarkan satu kes bagi setiap 600 kelahiran. Perlu diingat, sindrom ini bukannya bertumpu kepada satu-satu bangsa tertentu sebaliknya berlaku kepada semua bangsa di seluruh dunia. Dan, biarpun berbeza bangsa mereka sekali pun, rupa dan sifat mereka kelihatan sama.

    Ini berkait rapat dengan ciri fizikal yang ketara seperti bertubuh pendek, kepala kecil, mata agak senget, hidung kecil dan agak leper. Tahap perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak SD juga agak lambat berbanding kanak-kanak biasa.

    Tidak cukup dengan itu, mereka juga berisiko mempunyai masalah kesihatan seperti jantung berlubang, mudah dijangkiti selesema, kurang pendengaran, masalah pertuturan dan penglihatan kurang jelas.

    Biarpun dunia menyaksikan perkembangan teknologi kesihatan yang memberangsangkan, sayangnya, masalah SD ini memang tidak boleh diubati. Namun itu tidak bererti mereka tidak layak menikmati kehidupan, sebaliknya apa yang lebih penting bagi penghidap SD adalah perangsang dan sokongan bagi membantu mereka menempuh kehidupan.
    Malah ‘penawar’ sebenar golongan ini adalah pendedahan awal bagi meningkatkan perkembangan mereka. Malangnya, tidak ramai ibu bapa yang mahu tampil mendapatkan bantuan, sebaliknya lebih suka memerapkan anak di rumah. Jika ada pun, ia membabitkan mereka di usia remaja yang sukar dibentuk.

    Menyedari kepentingan ini, pertubuhan seperti Pusat Kebangsaan Yayasan Sindrom Down Kiwanis (KSDF) menjadi tempat rujukan ibu bapa memastikan anak kesayangan mendapat pendidikan khas seawal mungkin. Pengarah Pentadbirannya, Angie Heng, berkata dalam apa keadaan pun, apa yang lebih penting adalah sikap ibu bapa itu sendiri.“Masih ada ibu bapa yang enggan membawa nak mereka keluar dari rumah. Perkara ini tak sepatutnya berlaku kerana ibu bapa perlu memberi ruang kepada anak ini. Mereka sepatutnya dibenarkan untuk bercampur dengan orang lain selain adik beradik dan melayan mereka seperti kanak-kanak normal lain,” katanya.

    Menurut Heng, di pusat itu misalnya, mereka menerima kanak-kanak berusia seawal dua bulan.“Bagi Program Simulasi Bayi terbuka kepada usia baru lahir hingga 18 bulan, manakala Program Kanak-Kanak pula bermula usia 18 bulan hingga dua tahun. Program biasa membabitkan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun yang melatih kanak-kanak SD meningkatkan kemahiran komunikasi dan sosial mereka. Kita menetapkan yuran Program Simulasi Bayi berjumlah RM130 sebulan dan Program Biasa pula RM160. Namun ibu bapa boleh membuat rayuan dan berbincang dengan pihak Kiwanis bagi mengurangkan yuran berkenaan," katanya.

    Heng berkata, pendidikan awal sehingga mencapai usia enam tahun ini amat penting kerana ia sebenarnya melatih kanak-kanak SD ini agar lebih berdikari dan bercampur gaul dengan rakan lain bagi meningkatkan kemahiran sosial mereka. Masyarakat juga, katanya, perlu mengubah persepsi negatif mereka yang beranggapan golongan SD ini tidak berguna. “Ramai kanak-kanak SD yang berjaya memasuki sekolah biasa dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain. Ada juga yang berjaya memasuki sekolah kerajaan dan menduduki peperiksaan ujian awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia. Malah ada yang bekerja di sektor swasta,” katanya. Setakat ini, Kiwanis mempunyai tujuh cawangan dengan bilangan 300 pelajar sekolah di seluruh negara. Yayasan yang ditubuhkan lebih 21 tahun lalu bermatlamat membantu kanak-kanak istimewa ini mengoptimumkan potensi mereka.

    Sempena sambutan Hari Sindrom Down Sedunia, Heng berkata, pusat itu mengadakan pelbagai acara termasuk pertunjukan peragaan, persembahan nyanyian dan kebudayaan. Sebelum ini sambutan diadakan di pusat perubatan bagi menyedarkan warga hospital dan orang ramai mengenai SD.

    FAKTA: Sindrom Down
    • Sindrom ini mengambil nama Dr Langdon Down, orang pertama yang menjelaskan penyakit ini pada tahun 1866
    • Masalah ini disebabkan kelainan kromosom menyebabkan seseorang kanak-kanak itu menunjukkan sifat fizikal khusus yang boleh dikenali sewaktu bayi lagi.
    • Berlaku dalam satu kelahiran bayi bagi setiap 700 hingga 1,000 kelahiran.
    • Ramai pakar menyatakan usia lanjut ibu iaitu berumur 35 tahun ke atas sebagai risiko tinggi melahirkan anak Sindrom Down. Namun, ibu ibu muda juga tidak terkecuali daripada risiko itu.
    • Sindrom ini ada pada semua bangsa di seluruh dunia. Biar apa bangsa mereka sekali pun, rupa dan sifat mereka kelihatan sama.
    • Ciri fizikalnya termasuk bertubuh pendek, kepala kecil, mata agak senget, hidung pendek dan leper.
    • Pertumbuhan yang lambat.