Saturday, March 13, 2010

Modal insan prasyarat transformasi

2010/03/13

NAJIB meluangkan masa bersantai bersama pelajar di Teres Eko Niaga UKM, semalam.
Keintelektualan, nilai murni tiang seri pembentukan Model Ekonomi Baru: PM

BANGI: Pembangunan modal insan adalah satu daripada tiang seri dalam pembentukan Model Ekonomi Baru (MEB) untuk negara yang akan dilancarkan hujung bulan ini, kata Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Dalam konteks ini, Perdana Menteri berkata, jika kualiti modal insan, modal intelek dan keupayaan minda di kalangan warga universiti seperti ahli akademik, pensyarah, mahupun pelajar tidak dapat dipertingkatkan, maka akan terencatlah hasrat kerajaan mentransformasikan Malaysia sebagai negara berteraskan pengetahuan dan inovasi. "Bila kita sebut negara maju dan berpendapatan tinggi, maka elemen yang boleh menyokong objektif itu tidak lain dan tidak bukan ialah kemampuan kita dari segi modal intelektual dan juga kemahiran," katanya berucap di hadapan lebih 200 ahli akademik, pegawai tadbir, kakitangan dan pelajar di foyer Bangunan Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Lawatan beliau ke UKM semalam adalah sebahagian daripada siri lawatannya untuk berinteraksi secara tidak formal dengan warga universiti. Sebelum ini beliau mengadakan lawatan sama ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Najib berkata, pembangunan modal insan dari segi keintelektualan dan kemahiran dan juga nilai murni termasuk etika kerja ini adalah prasyarat dalam usaha kerajaan melakukan transformasi besar terhadap negara ini. Katanya, dalam misi mencapai hasrat ini, kedudukan sistem pendidikan bermula dari peringkat bawah iaitu prasekolah sehingga peringkat universiti akan diberi perhatian kerajaan. "Kita telahpun mula dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), kita perluaskan lagi pendidikan pra sekolah ...kita ada program Permata dan sebagainya untuk bangunkan peringkat akar umbi atau peringkat seawal mungkin dan seterusnya sampai ke peringkat menara gading," katanya.

Dalam ucapannya, Najib turut menyentuh mengenai pengumumannya pada Selasa lalu mengenai peningkatan skim lebih baik untuk profesor di universiti tempatan yang bertujuan membuka peluang kepada mereka meningkatkan kedudukan setimpal dengan pengetahuan mereka. "Saya harap dengan ini kita dapat ‘membuka potensi‘ di kalangan warga universiti terutama pada peringkat warga akademik yang ada kemampuan besar menyumbang kepada pembangunan modal intelektual," katanya.

Perdana Menteri berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan akan memperincikan pengumuman itu dalam mesyuarat Kabinet minggu depan. "Dengan ini, kita akan mewujudkan sistem yang boleh memberi suntikan dan motivasi untuk pensyarah terus mendalami ilmu serta mempertingkat kemampuan mereka setanding universiti terkemuka di negara lain," katanya. – Bernama

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Modalinsanprasyarattransformasi/Article

No comments: