Wednesday, March 31, 2010

Australia perkenal mata bionik

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

MELBOURNE 30 Mac – Australia hari ini mempamerkan prototaip mata bionik yang direka untuk memulihkan penglihatan bagi pesakit yang penglihatannya semakin merosot.



RUDD memeriksa sendiri mata bionik pada pelancarannya di Universiti Melbourne, semalam. –


Penyokong projek itu berharap mata bionik itu akan menjadi kemajuan terbesar dalam membantu golongan buta dan kurang penglihatan sejak huruf Braille dicipta lebih 200 tahun lalu.


Perdana Menteri, Kevin Rudd berkata, alat tersebut ‘boleh menjadi antara kemajuan perubatan paling penting yang dapat kita saksikan dalam hidup kita’.


Kerajaan Rudd menyumbangkan sebanyak A$42 juta (RM133 juta) untuk projek itu.

“Projek mata bionik ini akan meletakkan Australia di barisan hadapan dalam bidang penyelidikan bionik dan usaha mengkomersialkan hasil penyelidikan bionik, selain berpotensi untuk memulihkan penglihatan bagi beribu-ribu penduduk di Australia dan di seluruh dunia,” katanya.


Alat bionik tersebut, yang sebahagiannya dimasukkan ke dalam mata menerusi pembedahan, direka untuk pesakit yang mengalami kemerosotan penglihatan disebabkan masalah genetik, retinitis pigmentosa atau disebabkan degenerasi makular yang berlaku apabila usia meningkat.


Ia terdiri daripada sebuah kamera mini, dipasang pada cermin mata, yang menangkap imej dan menghantarnya ke sebuah pemproses yang disimpan di dalam poket pemakai.


Pemproses kemudian memancarkan isyarat secara wayarles ke satu unit yang diimplan di dalam mata untuk merangsang neuron-neuron yang masih terdapat di dalam retina, sekali gus mengisyaratkan imej kepada otak.


Penglihatan pesakit yang memakai mata bionik tidak akan pulih sepenuhnya, tetapi diharapkan mereka akan dapat melihat titik-titik cahaya dalam medan penglihatan mereka untuk disusun semula oleh otak menjadi imej.


Pengarah penyelidikan Bionic Vision Australia yang menghasilkan prototaip itu, Profesor Anthony Burkitt menjangka alat itu boleh mengubah kehidupan pesakit mata.


“Kami menjangka implan retina ini akan memudahkan pengguna untuk bergerak dan berdikari, dan versi implan pada masa depan akan membolehkan pengguna mengecam muka dan membaca tulisan dalam huruf besar,” katanya.


Ujian sedang dijalankan terhadap mata bionik itu sebelum implan pertama dilakukan pada manusia pada 2013. – AFP

1 comment:

shu hana said...

elok la kalau cam tu pasni boleh la golongan yg mengalami masalah penglihatan melihat dengan lebih baik.