Thursday, August 26, 2010

KELEBIHAN SOLAT TERAWIH

MALAM

1



Dosanya keluar seperti ia baru di lahirkan ibunya
2Dosanya di ampuni, begitu pula dosa kedua ibu bapanya jika keduanya itu orang mukmin
3
Di panggil oleh malaikat dari bawah Arasy dengan seruan: “Mulailah kamu beramal sebab Allah telah mengampuni dosamu yang telah lalu”.
4Di beri pahala yang sama, dan pahala orang-orang yang membaca Kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran.
5Di beri pahala seperti orang yang melakukan sembahyang di Masjidil Haram di Makkah, Masjid An-Nabawi di Madinah dan Masjid Al-Aqsa di Palestin
6
Di beri pahala seperti pahala malaikat yang tawaf di Baitul Ma’mur, batu-batu serta pasir turut sama
memohonkan ampun baginya
7Seperti orang yang hidup pada zaman Nabi Musa dan membantunya hingga dapat mengalahkan Fir’aun dan Haman
8Di berikan oleh Allah segala apa yang pernah di berikan kepada Nabi Ibrahim ‘alaihisalam
9Seperti pahala beribadah kepada Allah yang di lakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W
10Di kurniakan oleh Allah kebaikan dunia dan akhirat
11Keluar dari dunia seperti pada hari dilahirkan dari kandungan ibu bersih daripada segala dosa
12Datang di hari kiamat dengan keadaan mukanya bercahaya dan bersinar bagaikan malam bulan purnama
13Datang di hari kiamat dengan keadaan aman dari segala kejahatan
14Disaksikan oleh para malaikat, kalau dia telah melaksanakan solat tarawih maka pada hari kiamat ia akan di bebaskan oleh Allah dari segala mudarat.
15Di minta ampun oleh para malaikat, oleh malaikat yang memikul Arasy dan Kerusi.
16Di bebaskan dari api neraka dan dapat masuk syurga
17Di beri pahala seperti pahala para Nabi
18Di seru oleh para malaikat, “Wahai hamba Allah, bahawasanya Allah telah redha kepadamu dan kepada orang tua kamu”.
19Di angkat darjatnya ke dalam syurga firdaus.
20Di beri pahala para syuhada dan salihen
21Di bina rumahnya dari nur di dalam syurga.
22Kelak di hari kiamat ia akan datang dengan aman dari segala kesusahan dan dugaan
23Di bangunkan sebuah kota untuknya di syurga
24Di beri pahala yang berupakan dua puluh empat permohonan di kabulkan

25Di hapuskan dari seksaan kubur.
26Pahalanya diangkat selama empat puluh tahun
27Dalam melintasi sirat (jambatan) pada hari kiamat kelak, dia akan dapat melintasi dengan laju bagaikan kilat menyambar.
28Allah mengangkat dengan seribu darjat di syurga
29Diberi pahala seribu haji yang mabrur
30

Di panggil dan di persilakan oleh Allah, wahai hambaku, makanlah buah-buahan syurga dan mandilah dengan air salsabil (air syurga yang sedap di minum) serta minumlah dari telaga kausar. Akulah Tuhanmu dan engkau hambaku

Friday, August 20, 2010

Guna antibiotik secara rasional

Berita Harian Online
Oleh Syuhada Choo Abdullah
2010/08/20


KUALA LUMPUR: Penggunaan antibiotik dengan sewenang-wenang dalam rawatan penyakit boleh mengakibatkan bakteria dalam badan pesakit mengalami evolusi genetik yang menjadikannya memiliki lebih ketahanan, sekali gus kebal terhadap ubat berkenaan. Antibiotik perlu digunakan secara rasional mengikut garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan serta dikemas kini setiap lima tahun bagi mengelakkan masalah berkenaan. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata bukan semua rawatan penyakit memerlukan antibiotik tetapi terdapat pesakit mendesak doktor memberikan antibiotik kerana menyangka mereka akan sembuh lebih cepat sedangkan ia tidak semestinya berlaku.

Pesakit dan doktor diingatkan kewujudan gen baru dikenali sebagai New Delhi metallo-beta-lactamase (gen NDM-1) yang memberi lebih ketahanan atau kekebalan kepada bakteria untuk melawan antibiotik, termasuk antibiotik kuat jenis carbapenem. Evolusi gen baru bakteria itu dikaitkan dengan salah guna antibiotik dan perkembangan berkenaan semakin membimbangkan dunia perubatan antarabangsa kerana gen NDM1 sudah dikesan di India, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Sweden, Australia serta Belanda, katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Hasan Abd Rahman, pula menjelaskan penggunaan antibiotik yang tidak sepatutnya atau tanpa mengikut sukatan ditetapkan akan menyebabkan bakteria yang terdedah kepada ubat itu tetapi bertahan, bertindak balas melindungi diri melalui evolusi genetik yang mampu melawan antibiotik.

Katanya, bakteria dengan gen NDM1 satu daripada banyak bakteria yang boleh mengakibatkan jangkitan dalam perut dan paru-paru, justeru penggunaan antibiotik yang menepati garis panduan adalah amat penting untuk mengelakkan bakteria lain daripada turut mengalami evolusi genetik dan menjadi kebal. Sebagai contoh, ada pesakit tidak mematuhi dos antibiotik ditetapkan, terutama tidak menghabiskannya. Ini menyebabkan bakteria tidak mati dan selepas terdedah kepada suatu antibiotik itu, ia ada peluang untuk `belajar melawan balik ubat berkenaan melalui evolusi genetik. Perkara sama turut berlaku apabila ada pesakit mengambil ubat antibiotik yang sebenarnya tidak diperlukan. Oleh itu, harus diingatkan bahawa ada antibiotik yang khusus untuk membunuh bakteria tertentu mengikut jenis penyakit, katanya.

Sementara itu, Persatuan Perubatan Doktor Utama Malaysia mendedahkan ada pesakit yang bertindak mendapatkan antibiotik di farmasi atau kedai ubat alternatif apabila doktor enggan melayan permintaan mereka untuk mendapatkan ubat berkenaan. Presidennya, Dr Molly Chuah, berkata doktor tidak boleh dipersalahkan keseluruhannya berhubung isu pemberian antibiotik kerana ada pesakit yang bersikap mendesak atau mendapatkannya sendiri daripada sumber lain.

Monday, August 16, 2010

Hukuman berat ikhtiar terbaik atasi buang bayi

Berita Harian Online
Oleh Datuk Manja Ismail

manja@bharian.com.my
2010/08/16

Keluarga, masyarakat tak boleh lepas tangan beri didikan agama


NAMPAKNYA pelbagai reaksi diberikan terhadap arahan Kabinet supaya polis menyiasat kes buang bayi yang menyebabkan kematian mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati mandatori. Sementara ramai yang bersetuju dengan langkah itu, ada juga menyuarakan kebimbangan bahawa hukuman berat saja mungkin tidak mampu membanteras gejala yang boleh dianggap perbuatan ‘jahiliah moden’ itu tanpa disusuli oleh langkah pencegahan menyeluruh dan berterusan terutama dari segi pendidikan. Bagaimanapun, semua pihak bersetuju bahawa kes pembuangan bayi di negara ini sudah ke tahap yang amat membimbangkan dan hampir setiap hari berita mengenainya dilaporkan.

Menurut statistik Jabatan Pendaftaran Negara, sejumlah 257,411 sijil pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf, dicatat dalam tempoh 2000 sehingga Julai 2008, sebahagian besarnya Melayu.

Fenomena inilah yang mendorong Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, sekali lagi membawa isu pembuangan bayi ke mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu. Sebelum ini, semua kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Dengan meletakkan siasatan kes membuang bayi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mereka yang disyaki terbabit boleh didakwa atas kesalahan percubaan membunuh atau menyebabkan kematian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika menjelaskan keputusan Kabinet itu kelmarin berkata, bukan semua kes buang bayi diklasifikasikan sebagai kes pembunuhan kerana polis perlu menyiasat terlebih dulu setiap kes sebelum Jabatan Peguam Negara membuat sebarang ketetapan untuk sabitkan sebagai kes bunuh.

“Keputusan Kabinet ialah tidak semestinya setiap kes buang bayi ini adalah kes pembunuhan. Kita tetapkan bahawa pihak polis siasat dan polis gunakan teknik moden seperti ujian DNA, untuk kenal pasti mak bapanya,” katanya.
Walaupun bersetuju dengan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah kes buang bayi, kita juga berkongsi pandangan bahawa ia tidak mungkin dapat membanteras gejala itu tanpa langkah-langkah lain terutama dari segi pendidikan sama ada agama atau moral di kalangan generasi muda. Sudah banyak kajian dibuat pelbagai pihak untuk mencari punca dan jalan penyelesaian bagi menangani masalah ini. Semua pihak akur bahawa gejala pembuangan bayi adalah kesan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Kita boleh menyalahkan apa saja seperti pengaruh Barat, pergaulan bebas atau mudahnya mendapat bahan pornografi daripada internet tetapi jika generasi muda kita dibenteng dengan kesedaran agama dan moral yang tinggi, keadaan tentunya tidak seburuk sekarang.

Namun, kita tentunya tidak boleh mengharapkan pendidikan agama dan moral di sekolah semata-mata. Di sinilah keluarga memainkan peranan penting dalam memberi didikan kepada anak serta mengawasi pergaulan mereka. Pada masa sama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat termasuk parti politik perlu memainkan peranan. Disebabkan majoriti kes buang bayi membabitkan remaja Melayu, NGO dan parti politik Melayu harus bergabung tenaga dalam mencari jalan membanteras gejala ini. Mereka boleh berbalah mengenai soal politik tetapi dalam soal membabitkan masa depan generasi muda Melayu/Islam, mereka sama-sama bertanggungjawab.

Daripada menuding jari dan saling menyalahkan, mereka sepatutnya memberi saranan yang praktikal dalam mengatasi permasalahan ini. Gejala buang bayi tidak mengenal negeri dan parti politik. Biarlah sokongan terhadap keputusan Kabinet mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah buang bayi minggu lalu sebagai permulaan kerjasama NGO dan pertubuhan politik Melayu menangani gejala yang memalukan ummah ini, dari peringkat akar umbi.

Saturday, August 14, 2010

Pusat pelindung terima enam budak

Berita Harian Online

Pusat pelindung terima enam budak
2010/08/14
FAUZIAH di Pusat Pelindung Bayi   yang ditubuhkan  bagi menangani kes buang bayi.
FAUZIAH di Pusat Pelindung Bayi yang ditubuhkan bagi menangani kes buang bayi.
PETALING JAYA: Jumlah bayi yang dihantar ke Pusat Pelindung Bayi di sini sudah meningkat kepada enam sejak pusat itu diperkenalkan di negara ini 29 Mei lalu, tetapi semua bayi terbabit sudah diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing.

Ramai pasangan terutama yang tiada anak minat untuk menjadikan bayi berkenaan sebagai anak angkat. Bayi lelaki pertama seberat 2.7 kilogram diserahkan kepada keluarga angkat selepas 11 hari dijaga pusat penjagaan itu. Pusat itu diwujudkan sebagai tempat khas untuk ibu terdesak daripada membuang anak mereka dalam usaha menangani gejala pembuangan bayi yang semakin serius sejak akhir-akhir ini.

Ahli Jawatankuasa Ibu Bapa, Bahagian Kaunseling dan Pendidikan, Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak Yatim (OrphanCARE), Fauziah Mahfudz, berkata bayi terbabit dihantar ibu dan ahli keluarga atas sebab tertentu.

“OrphanCARE menerima banyak panggilan daripada mereka yang hendak menghantar anak ke sini dan juga ada yang datang membawa bayi mereka.

“Setakat ini kami sudah menemu duga 55 pasangan yang tiada anak dan 37 pasangan yang mahukan anak angkat, manakala 300 pasangan lagi berada dalam senarai menunggu,” katanya.
Semua permohonan akan disemak rapi untuk memilih pasangan yang layak melalui prosedur sah dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hospital, polis serta agensi berkaitan.

Katanya, OrphanCARE menekankan kelayakan mereka berdasarkan kriteria seperti kemampuan ibu bapa terbabit menjaga bayi serta penekanan nilai Islam.

Nik Aziz sokong hukuman mati kes buang bayi

Berita Harian Online
2010/08/14 KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, semalam menyifatkan Kabinet bertindak tepat dalam usaha membendung peningkatan kes buang bayi di negara ini dengan mengenakan hukuman bunuh kepada pesalah terbabit.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, hukuman seperti itu bukan saja harus dikenakan kepada pesalah pembuangan bayi malah seharusnya diperluaskan terhadap umat Islam yang melakukan zina. “Saya setuju (dengan hukuman bunuh itu)...biarlah setiap hukuman itu menimbulkan rasa perit (takut) bukan saja kepada pihak yang melakukan kesalahan itu, malah mereka yang berhasrat melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Saya juga bersetuju sekiranya hukuman bunuh itu juga turut dikenakan terhadap orang yang melakukan zina juga. Ini menunjukkan kita bersungguh-sungguh membendung kegiatan yang dilihat semakin berleluasa sekarang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaatnya, di Dataran Ilmu, di sini, semalam.

Empat lagi kes buang bayi

Berita Harian Online | Empat lagi kes buang bayi
Oleh Rohaniza Idris dan Umi Nadirah Abdul Rahman

bhnews@bharian.com.my
2010/08/14

Menteri kecewa masyarakat tak peduli hukuman lebih berat

KUALA LUMPUR: Belum sampai 24 jam Kabinet memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh dan percubaan membunuh, empat lagi kes pembuangan bayi dilaporkan dalam tempoh itu. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menerima maklumat tiga kes pembuangan bayi dilaporkan di Kelantan, Melaka dan Kuala Lumpur. Satu lagi kes dilaporkan di Johor Bahru.Semua pihak mesti serius dan tidak lepas tangan berhubung kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa.

“Isu ini jika tidak ditangani segera mengakibatkan kehancuran nilai agama dan budaya dalam masyarakat pada masa depan. “Ini tanggungjawab bersama ibu bapa, keluarga, masyarakat dan pemimpin. Jangan ambil kes ini sambil lewa,” katanya kepada pemberita selepas melawat Wad Bersalin Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dalam kejadian di Johor Bahru, seorang penjala ikan, Mohd Moh Othman, 60, terkejut menemui mayat bayi yang tidak diketahui jantinanya dalam bakul di pinggir laut berhampiran Jalan Datuk Onn, kira-kira jam 5 petang kelmarin. “Sekali pandang, bayi berkenaan cukup sifat dan masih bertali pusat. Saya buntu sebaik melihat mayat itu dan membuat laporan polis selepas disuruh ahli keluarga,” katanya. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob mengesahkan kejadian itu dan polis sedang menjalankan siasatan.

Sementara itu, statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati purata tiga bayi dibuang setiap dua minggu di negara ini sepanjang 2007 hingga April lalu, membabitkan 312 kes. Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Mohamed Fadzil Che Din, berkata perangkaan itu mungkin lebih tinggi kerana ia yang disenaraikan itu hanyalah kes yang dilaporkan kepada JKM. Statistik kes pembuangan bayi dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menunjukkan 396 kes dicatatkan dari 2005 hingga tahun lalu. Ia menunjukkan trend peningkatan walaupun ada penurunan pada 2007. Sebanyak 67 kes dilaporkan pada 2005, 83 kes (2006) yang menurun kepada 65 kes pada 2007, 102 kes (2008) dan 79 kes (2009).

Sebilangan besar individu yang terbabit dalam kes pembuangan bayi berusia antara 18 hingga 25 tahun, 20 kes membabitkan individu berusia bawah 18 tahun, 33 dilakukan individu 25 tahun ke atas, manakala 403 individu lagi gagal dikesan peringkat umur mereka. Daripada jumlah 396 kes itu, 137 kes membabitkan pembuangan bayi lelaki, 102 bayi perempuan dan selebihnya tidak diketahui jantina.

Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi 2000 hingga 2008 pula, 257,000 kanak-kanak didaftarkan tidak mempunyai nama bapa. Lebih menyedihkan bagi tempoh 1999 hingga 2003 saja, 44 peratus anak yang tidak mempunyai nama bapa adalah anak orang Islam iaitu 30,978 daripada 70,430 kanak-kanak yang didaftarkan. Dalam perkembangan berkaitan Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi dan Pakar Runding Kanan HKL, Datuk Dr J Ravindran, berkata kes wanita melahirkan anak luar nikah di hospital terbabit mencatatkan peningkatan pada tahun ini berbanding tahun lalu.

“Tahun lalu 392 wanita melahirkan anak luar nikah. Daripada itu, 62 adalah berumur bawah 18 tahun. Pada tahun ini terdapat penambahan kes iaitu sehingga bulan Julai, terdapat 301 kes termasuk 34 kes bawah umur 18 tahun,” katanya.

Wednesday, August 11, 2010

Ihya Ramadan

RAMADAN adalah bulan mulia yang mempunyai kelebihan tersendiri antaranya:
  • Ramadan penghulu semua bulan.
    Diriwayatkan al-Tabarani dalam al-Kabir, “Penghulu bulan ialah Ramadan dan penghulu hari ialah Jumaat.”
  • Dibuka pintu syurga. Diriwayatkan Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah: “Apabila datang Ramadan, dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan syaitan dibelenggu.”
  • Diampunkan dosa sehingga Ramadan akan datang. Hadis riwayat Muslim yang diriwayatkan Abu Hurairah: “Solat fardu lima waktu, Jumaat kepada Jumaat dan Ramadan kepada Ramadan, akan diampunkan di antara keduanya sekiranya seseorang itu melakukan dosa besar.”
  • Ganjaran daripada Allah.
    Diriwayatkan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda bermaksud: “Allah berkata: Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa dan Aku yang akan membalasnya. Bagi orang berpuasa ada dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan berjumpa dengan Tuhannya. Dan perubahan bau mulut orang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah berbanding haruman kasturi.”
  • Diampunkan dosa terdahulu.
    Hadis ini diriwayatkan sebilangan ahli hadis termasuk Bukhari dan Muslim iaitu: “Sesiapa menghidupkan Ramadan dalam keadaan beriman dan ikhlas (kepada Allah), diampunkan dosanya (yang terdahulu).”
  • Diturunkan al-Quran.
    Nabi Muhammad SAW berkata: “Diturunkan suhuf Nabi Ibrahim pada awal malam Ramadan dan diturunkan Taurat pada 6 Ramadan dan diturunkan Injil pada 13 Ramadan dan diturunkan Zabur pada 18 Ramadan dan diturunkan al-Quran pada 14 Ramadan.” (al-Mu’jam al-Kabir)
  • Malam Lailatulqadar.
    Abu Hurairah melaporkan bahawa Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan reda Allah maka akan diampuni dosanya yang lalu dan sesiapa yang qiamullail pada malam Lailatulqadar dengan penuh iman dan mengharapkan reda Allah maka akan diampuni dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari)
  • Dibebaskan daripada api neraka.
    “Sesungguhnya bagi Allah hamba yang bebas (daripada api neraka) setiap berbuka, dan demikian itu pada setiap malam.” (Hadis riwayat Ahmad)
petikan buku Adab Ramadan

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/IhyaRamadan/Article/index_html

2010/08/11