Oleh Rohaniza Idris dan Umi Nadirah Abdul Rahman
bhnews@bharian.com.my
2010/08/14
Menteri kecewa masyarakat tak peduli hukuman lebih beratKUALA LUMPUR: Belum sampai 24 jam Kabinet memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh dan percubaan membunuh, empat lagi kes pembuangan bayi dilaporkan dalam tempoh itu. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menerima maklumat tiga kes pembuangan bayi dilaporkan di Kelantan, Melaka dan Kuala Lumpur. Satu lagi kes dilaporkan di Johor Bahru.Semua pihak mesti serius dan tidak lepas tangan berhubung kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa.
“Isu ini jika tidak ditangani segera mengakibatkan kehancuran nilai agama dan budaya dalam masyarakat pada masa depan. “Ini tanggungjawab bersama ibu bapa, keluarga, masyarakat dan pemimpin. Jangan ambil kes ini sambil lewa,” katanya kepada pemberita selepas melawat Wad Bersalin Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Dalam kejadian di Johor Bahru, seorang penjala ikan, Mohd Moh Othman, 60, terkejut menemui mayat bayi yang tidak diketahui jantinanya dalam bakul di pinggir laut berhampiran Jalan Datuk Onn, kira-kira jam 5 petang kelmarin. “Sekali pandang, bayi berkenaan cukup sifat dan masih bertali pusat. Saya buntu sebaik melihat mayat itu dan membuat laporan polis selepas disuruh ahli keluarga,” katanya. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob mengesahkan kejadian itu dan polis sedang menjalankan siasatan.
Sementara itu, statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati purata tiga bayi dibuang setiap dua minggu di negara ini sepanjang 2007 hingga April lalu, membabitkan 312 kes. Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Mohamed Fadzil Che Din, berkata perangkaan itu mungkin lebih tinggi kerana ia yang disenaraikan itu hanyalah kes yang dilaporkan kepada JKM. Statistik kes pembuangan bayi dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menunjukkan 396 kes dicatatkan dari 2005 hingga tahun lalu. Ia menunjukkan trend peningkatan walaupun ada penurunan pada 2007. Sebanyak 67 kes dilaporkan pada 2005, 83 kes (2006) yang menurun kepada 65 kes pada 2007, 102 kes (2008) dan 79 kes (2009).
Sebilangan besar individu yang terbabit dalam kes pembuangan bayi berusia antara 18 hingga 25 tahun, 20 kes membabitkan individu berusia bawah 18 tahun, 33 dilakukan individu 25 tahun ke atas, manakala 403 individu lagi gagal dikesan peringkat umur mereka. Daripada jumlah 396 kes itu, 137 kes membabitkan pembuangan bayi lelaki, 102 bayi perempuan dan selebihnya tidak diketahui jantina.
Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi 2000 hingga 2008 pula, 257,000 kanak-kanak didaftarkan tidak mempunyai nama bapa. Lebih menyedihkan bagi tempoh 1999 hingga 2003 saja, 44 peratus anak yang tidak mempunyai nama bapa adalah anak orang Islam iaitu 30,978 daripada 70,430 kanak-kanak yang didaftarkan. Dalam perkembangan berkaitan Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi dan Pakar Runding Kanan HKL, Datuk Dr J Ravindran, berkata kes wanita melahirkan anak luar nikah di hospital terbabit mencatatkan peningkatan pada tahun ini berbanding tahun lalu.
“Tahun lalu 392 wanita melahirkan anak luar nikah. Daripada itu, 62 adalah berumur bawah 18 tahun. Pada tahun ini terdapat penambahan kes iaitu sehingga bulan Julai, terdapat 301 kes termasuk 34 kes bawah umur 18 tahun,” katanya.
No comments:
Post a Comment