Thursday, March 18, 2010

Ramai majikan enggan beri kerja kepada OKU

KUALA LUMPUR 17 Mac - Sikap majikan yang enggan menerima orang kurang upaya (OKU) menyebabkan ramai di kalangan mereka tidak mendapat pekerjaan walaupun mempunyai kemahiran terkini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kerajaan telah menyediakan kursus relevan bagi memudahkan OKU mendapat pekerjaan tetapi sikap majikan yang tidak berubah telah menjejaskan matlamat itu.''Banyak kursus terkini yang kita anjurkan tetapi OKU masih sukar mendapat pekerjaan kerana banyak majikan yang tidak prihatin," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed (BN-Sepang) pada sidang Dewan Rakyat hari ini. Mohd. Zin bertanyakan adakah kursus yang dijalankan oleh kementerian itu relevan dengan zaman ledakan teknologi maklumat sekarang bagi memudahkan OKU mendapat pekerjaan.

Dalam pada itu, Shahrizat berkata, kementerian berkenaan menghadapi masalah untuk menyakinkan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menyediakan prasarana khusus untuk OKU di tempat-tempat awam. ''Ramai rakyat jika mereka tidak dilahirkan sebagai OKU, mereka fikir tidak perlu untuk bantu OKU. Mereka lupa bila-bila masa pun mereka boleh jadi OKU apabila ditimpa kemalangan," katanya.

Menjawab soalan asal Mohd. Zin, Shahrizat berkata, kementerian melalui Jabatan Pembangunan OKU di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang melaksanakan pelbagai tindakan bagi memastikan golongan itu dapat berdikari.

Beliau berkata, antara tindakan jangka pendek yang dilaksanakan ialah menyediakan elaun pekerja cacat sebanyak RM300 sebulan sebagai insentif menggalakkan mereka bekerja serta hidup berdikari. ''Kita juga menyediakan bantuan geran RM2,700 seorang bagi menggalakkan OKU menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

''Selain itu, kementerian juga menyediakan bantuan sara hidup kepada OKU yang tidak berupaya bekerja sebanyak RM150 sebulan dan mereka yang terlantar sakit diberi RM300 sebulan bagi membantu meringankan perbelanjaan keluarga atau penjaga," katanya.

No comments: