Wednesday, March 31, 2010

'Burung besi' yang digeruni

Utusan Malaysia Online - Megabait


ARKIB : 21/03/2010
Oleh MOHD. RIDZWAN MD. IMAN


Global observer


PESAWAT tanpa juruterbang (UAV), peninjau atau pesawat dengan kawalan jarak jauh merupakan antara nama yang diberikan kepada pesawat kecil yang semakin digeruni masa kini.


Pesawat itu bukan hanya boleh digunakan untuk mengintip pergerakan musuh tetapi juga dijadikan senjata untuk menyerang musuh dalam senyap.


Kelebihan pesawat ini ialah selain tidak memerlukan pemandu, ia boleh terbang di bawah pengesanan radar dan boleh juga dijadikan seperti peluru berpandu iaitu meletupkan dirinya sendiri ke sasaran.


Malaysia sendiri dikatakan telah menggunakan beberapa buah pesawat UAV yang berperanan sebagai pesawat peninjau dan berkemungkunan akan menggunakan pesawat UAV buatan tempatan di masa depan.


Selain digunakan untuk aktiviti ketenteraan, UAV juga sebenarnya banyak digunakan dalam kerja-kerja seperti penyelidikan saintifik, remote sensing, memadam kebakaran, memeriksa kedudukan paip dan sebagainya. Menurut sumber industri, kira-kira 44 negara di seluruh dunia hari menggunakan pesawat UAV untuk pelbagai tujuan.

Avenger, misalnya merupakan UAV yang mampu memburu dan membunuh tiga kali lebih pantas berbanding model sebelumnya, Predator yang banyak digunakan di dalam perang di Iraq dan Afghanistan.


Phantom Ray

Pesawat berkelas Stealth ini dibangunkan oleh The Boeing Company dengan berpangkalan di Pangkalan Tentera Udara Edwards, Lancaster, California, AS.

Jurutera menjangkakan pesawat ini boleh terbang sehingga 12,192 meter (m) dan mempunyai kelajuan sehingga 982 kilometer/jam (km/j) yang akan menjadikannya UAV paling laju pernah dicipta.


Demon

Pesawat ini terbang tanpa sirip atau bahagian yang boleh diubah kerana seluruh badan berbentuk seperti sayap.

Keseluruhan pesawat dikawal oleh perisian yang menentukan bagaimana ia terbang ke atas dan bawah, termasuk membelok kiri dan kanan.


Vulture

Pesawat yang dijana oleh tenaga solar ini dibina oleh Lockheed Martin.

Pesawat berbentuk seperti tali pinggang ini dibina untuk kemampuan terbang setinggi 16,764 meter dan boleh berada di udara sehingga tempoh lima tahun secara berterusan.

Ia sangat sesuai diletakkan dengan kamera pemantauan yang boleh memantau sejauh 965 kilometer di bawah bumi.


RQ-170 Sentinel

Pesawat jenis Stealth ini dibangunkan oleh Lockheed Martin dan dikatakan menjalankan misi rahsia dan dipercayai berada di pangkalan tentera AS di Afghanistan.

Tidak banyak yang diketahui mengenai pesawat ini dan dipercayai mempunyai kemampuan terbang dengan ketinggian sehingga 15,240 meter.


Avenger (Predator C)

Pesawat ini dibina oleh General Atomics Aeronautical Systems dengan fungsi memburu dan memusnahkan.

Pesawat ini mampu membawa peralatan seberat 1,360 kg sama ada dalam bentuk kamera pengawasan dan peluru pemusnah seperti peluru berpandu kawalan laser Hellfire.

Pesawat ini boleh terbang dengan kelajuan 853 km/j dan boleh terbang tanpa henti selama 20 jam.

Embla

Pesawat UAV yang dibina oleh Aesir dari Britain ini berada dalam kategori Hovercraft dan digunakan di Afghanistan dan zon bencana.

Ia mempunyai kemampuan terbang dan mendarat menegak (VTOL) seperti helikopter dan sesuai untuk membantu tentera di lereng-lereng bukit.

Ion Tiger

Pesawat ini dibangunkan oleh Naval Research Laboratory, Washington yang mempunyai tugasan lasak dengan berkhidmat di kawasan Eropah. Ia boleh terbang tanpa dapat didengar walaupun berada pada ketinggian 305 meter atau sehingga mencapai ketinggian 4,267 meter.

Excalibur

Pesawat UAV ini mempunyai fungsi memburu dan memusnah dan boleh digunakan dalam zon perang di laut dan darat.

Ia juga boleh terbang dan mendarat tanpa lapangan terbang dan boleh terbang dengan ketinggian 9,144 meter.


Antara pesawat masa depan ialah S-100 Camcopter dari Austria, Skylite dari BAE Systems, Mantisdari Bluebird Aero Systems, Boeing HALE (High Altitude Long Endurance) dari Boeng, Global Observer dari AeroVironment dan Samarai dari Lockheed Martin.

Manakala pesawat UAV yang sedang digunakan pula ialah RQ-11B Raven, Wasp III, Desert Hawk, MD4-200 (Microdrone), T-Hawk/gMAV, Aerosonde, FINDER, ScanEagle, RQ-7 Shadow (AAI), Hermes 450/Watchkeeper, MQ-1 Predator, MQ-9 Reaper dan sebagainya.

1 comment:

shu hana said...

memang membanggakan dunia hari ini sudah mampu untuk menghasilkan senjata canggih.Namun begitu kita perlu sedar akan keburukan dan kesannya jika digunakan untuk tujuan tidak baik seperti untuk memusnah sesuatu kawasan dan membunuh pihak musuh bagi mendapatkan hasil atau kekayaan sesebuah tempat.