Tuesday, March 16, 2010

Kaji kesan pindah jam kredit

2010/03/16

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak meminta kerajaan mengkaji secara halus dan terperinci berhubung cadangan yang membolehkan pelajar sekolah berprestasi tinggi (SBT) yang mengikuti kursus setara dengan silibus subjek peringkat ijazah sarjana muda, dibenar memindahkan jam kredit mata pelajaran berkenaan apabila memasuki universiti.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), berkata Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu meneliti kesan jangka panjang kerana ia membabitkan pengubahsuaian buku rujukan, tenaga pengajar, aspek penilaian, gred serta penerimaan daripada masyarakat.
“Kita tidak mahu timbul kecelaruan mata pelajaran sekolah menengah sama standard dengan subjek di Institut Pengajian Tinggi (IPT). Mesti ada perbezaan dari segi kandungan. “Adakah wujud dasar penerima pemindahan jam kredit serta adakah perancangan mendalam dibuat sebelum pelaksanaan pemindahan jam kredit dari sekolah menengah ke universiti dilakukan, ” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Dr Mohamad Ali, berkata kementerian perlu meneliti sejauh mana pengiktirafan di peringkat antarabangsa bukan hanya membabitkan penerimaan di Malaysia. Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan menyambut baik cadangan pemindahan jam kredit di universiti. “Pemindahan jam kredit berkenaan secara keseluruhannya akan menjimatkan masa pelajar. Mata pelajaran yang diajar di sekolah menengah tidak perlu lagi dipelajari apabila pelajar terbabit memasuki universiti. Ia tidak akan membuang masa malahan pemindahan kredit terbabit memudahkan pelajar untuk meneroka ilmu lain."

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kajikesanpindahjamkredit/Article

No comments: