Monday, February 8, 2010

USM cipta perisian kenal pasti penyakit kecelaruan bahasa

GEORGETOWN: Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencipta satu sistem sokongan untuk membantu pegawai perubatan mengenal pasti masalaAh percakapan kanak-kanak yang bermasalah.

Ketua pasukan penyelidik itu, Dr Rozaida Abdul Rauf berkata perisian Sistem Sokongan Keputusan Bahasa Klinikal (CLDSS) adalah ciptaan terbaru dan pertama di dunia bagi mengenal pasti masalah kecelaruan bahasa di kalangan kanak-kanak.

Katanya, penyelidikan yang bermula sejak Disember 2006 hingga November tahun lalu itu dibangunkan dengan kos RM186,000 dan menggabungkan kepakaran dalam bidang psikolinguistik dan Teknologi Maklumat (IT).

"Perisian itu mampu mengenal pasti dengan tepat punca sebenar berlaku kecelaruan bahasa seawal mungkin antara usia setahun hingga enam tahun sebelum seseorang kanak-kanak itu memasuki persekolahan," katanya pada sidang akhbar di sini.

Dr Rozaida berkata, diagnosis imbasan otak akan dilakukan ke atas kanak-kanak bagi mengenalpasti punca dan jenis kecelaruan bahasa yang dihidapi mereka.

Katanya, daripada diagnosis itu, perisian berkenaan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak itu sebelum dirujuk kepada pakar perubatan seperti pakar pathologi bahasa untuk tindakan selanjutnya.
"Kanak-kanak yang mempunyai masalah kecelaruan
bahasa dapat dipulihkan dengan kos yang rendah jika dikenalpasti pada peringkat awal," katanya sambil menambah ciptaan mereka itu hanya untuk mengenal pasti masalah bukan mengubatinya.

Katanya, sejak perisian itu dihasilkan, USM telah menjalankan kajian terhadap 30 kanak-kanak yang bermasalah.

"Daripada jumlah itu, kami berjaya mengesan dengan tepat 30 jenis kecelaruan berbahasa yang berbeza antara setiap kanak-kanak bagi membantu proses rawatan mereka di hospital.

"Pihak hospital hanya mampu mengesan jenis kecelaruan bahasa dengan ketepatan 13 peratus, kami dapat mengenalpasti dengan 100 peratus tepat," katanya.
Dr Rozaida berkata, ibu bapa juga perlu peka terhadap perkembangan bahasa anak-anak bagi mengelakkan masalah itu sukar dirawat jika sudah melepasi tahap pra-sekolah.

"Kadang-kadang ada kanak-kanak yang sudah berusia empat tahun pun hanya baru boleh sebut satu perkataan manakala ada bayi yang senyap saja dan keadaan itu perlu dipantau bagi mengenalpasti sama ada mereka ada masalah kecelaruan bahasa," katanya.

Katanya, susulan penghasilan perisian itu, kumpulan penyelidiknya juga akan menjalankan tiga projek dalam usaha menghasilkan program sesuai bagi tujuan merawat kecelaruan bahasa di kalangan kanak-kanak yang mengalami masalah berkenaan.

Katanya, setakat ini perisian berkenaan masih belum dipasarkan danmasih dalam proses paten.

"Bagaimanapun, sebuah syarikat IT di Kuala Lumpur berminat untuk membelinya," katanya. - Bernama

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Mutakhir/20100120153803/Article/

No comments: