Thursday, February 25, 2010

Cuaca panas diramal hingga awal April

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca panas dan kering yang melanda negara akan berterusan sehingga awal April ini. Fenomena El-Nino yang terjadi di tengah Lautan Pasifik sejak Jun tahun lalu, dijangka berterusan sehingga April ini dan diramalkan beralih kepada keadaan normal mulai Mei ini.

Dalam kenyataan kepada media semalam, Jabatan Meteorologi menyebut, Malaysia kini berada dalam fasa akhir Monsun Timur Laut yang mana cuaca lebih panas dan kering berbanding Disember dan Januari. Tambahan lagi, kedudukan matahari secara relatif hampir tegak di kawasan Khatulistiwa pada pertengahan Februari hingga pertengahan April adalah antara punca kejadian cuaca panas.

Ia bertambah buruk dengan fenomena El Nino sederhana menyebabkan kekurangan hujan di Malaysia. Antara kawasan kekurangan hujan adalah Perlis, Kedah, Pulau Langkawi, Kelantan, Terengganu, Pahang, pedalaman Negeri Sembilan, Johor serta Sabah dan Bintulu.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Nasional/


bagus juga la dengan adanya teknologi ni dapat juga kita mengetahui masalah cuaca dan langkah2 tertentu bolehlah diambil.

Tuesday, February 23, 2010

Sabah&Sarawak: Makmal komputer tersadai

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
berita harian 24/2/10

MAKMAL komputer SMK Banggi, Pulau Banggi, Kudat terbengkalai dan menunggu peruntukan baru dalam RMK-10.
Pelajar tak berpeluang manfaat teknologi ICT

KOTA KINABALU: Sekolah di Sabah dibimbangi mewarisi sistem pendidikan konvensional sepenuhnya berikutan kontraktor dikesan gagal menyiapkan banyak projek makmal komputer di seluruh negeri itu. Malah, besar kemungkinan pelajar negeri itu terpaksa bergantung kepada buku ketika rakan sebaya mereka di Sarawak dan Semenanjung menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai rujukan tambahan. Menerusi ICT, pelajar bukan saja mampu melayari portal pendidikan dan perisian disediakan perunding pendidikan, malah boleh berkongsi maklumat mengenai sistem pembelajaran dan kaedah menjawab soalan bermutu tinggi daripada rakan sebaya di negeri lain.

Pengumuman Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mengenai penamatan kontrak pemaju Makmal Komputer Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi, Pulau Banggi, Kudat, awal tahun ini membuka ruang pendedahan lebih banyak makmal komputer sekolah terbengkalai di Sabah. Ibu bapa Sekolah Kebangsaan (SK) Labuan, Kota Belud mendakwa anak mereka terpaksa mempelajari komputer di sekolah menengah berikutan kegagalan kontraktor menyiapkan makmal komputer sekolah itu sejak setahun lalu.


BAHAN binaan makmal komputer SK Labuan, Kota Belud dibiarkan bertaburan dikhuatiri menjadi sarang ular. Kualiti makmal terbabit juga diragui kerana pintu tidak rata dan tiada pendawaian elektrik sedangkan bekalan komputer sudah ada manakala bahan binaan dibiarkan bertaburan dikhuatiri menjadi sarang ular. Difahamkan, 20 makmal komputer sekolah di daerah Kota Belud terbengkalai.

Exco Pelajaran Sabah, Datuk Masidi Manjun, mengakui menerima banyak laporan mengenai sebahagian besar makmal komputer di Sabah gagal disiapkan mengikut jadual. Katanya, ada makmal berkenaan menjadi projek gajah putih yang akhirnya merugikan pelajar kerana terpaksa menggunakan sepenuhnya sistem pendidikan konvensional. "Kegagalan pemaju menyiapkan makmal komputer mengikut jadual akan mewujudkan jurang digital pelajar kita dengan rakan sebaya mereka di Semenanjung dan Sarawak. Jika sekolah dekat jalan besar seperti Makmal Komputer SMK Kundasang, Ranau di laluan pantai barat ke pantai Timur Sabah terbengkalai, apatah lagi di pedalaman seperti Pulau Banggi, Pitas, Tenom, Long Pasia (Sipitang) dan Ulu Kalabakan, Tawau," katanya.

Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, turut menerima maklumat daripada Pejabat Jabatan Pelajaran Kota Belud mengenai banyak makmal komputer sekolah gagal disiapkan mengikut jadual di daerah itu. Katanya, sikap tidak bertanggungjawab kontraktor itu menjejaskan masa depan anak tempatan, sekali gus boleh menyebabkan usaha menghapus kemiskinan menerusi pendidikan sempurna tidak kesampaian. "Masalah itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia menghalang pembelajaran dan pengajaran (P&P) menggunakan ICT yang dengan sendirinya mewujudkan jurang digital antara murid di Sabah dengan negeri lain,"

Presiden Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (Cash), Datuk Patrick Sindu, berkata pihaknya turut menerima laporan mengenai kegagalan menyiapkan makmal komputer mengikut jadual. "Perkara itu serius kerana boleh menyebabkan generasi muda di negeri ini ketinggalan dan gagal bersaing. Pemaju yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual perlu bertanggungjawab dan jika didapati mereka ingkar, projek dan lesen mereka perlu dibatalkan. Tindakan tegas itu perlu dilaksanakan kerana ia merugikan pelajar kita yang dengan sendirinya meluaskan jurang digital sedia ada," katanya.

Sunday, February 21, 2010

Penyakit korda suara

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my
2010/02/21
KITA sering mendengar cerita mengenai penyanyi atau personaliti dinasihatkan ‘merehatkan’ suara beberapa minggu sebelum boleh mula aktif bercakap semula kerana mengalami masalah peti suara.

Suara yang ‘baik’ dan mantap menggambarkan keyakinan seseorang ketika berbicara. Ia memberi impak positif kepada pendengar atau individu yang berinteraksi dengannya. Suara yang merdu dan lunak didengar boleh menghidupkan suasana. Bagaimanapun, suara bukan faktor utama untuk keyakinan kerana keyakinan diri turut dipengaruhi oleh penampilan, emosi, ketenangan fikiran, postur badan dan pengalaman.

Masalah peti suara antara perkara biasa bagi golongan dengan kerjaya yang perlu banyak bercakap seperti juruhebah, guru, pensyarah, peguam, pengacara, telefonis, pegawai yang berurusan dengan orang ramai, pelakon atau penyanyi.

Berdasarkan kajian mahasiswa Pusat Perubatan Universiti Malaya yang tidak diterbitkan ke atas guru sekolah, didapati hampir 24 peratus guru mengalami masalah peti suara dan suara serak dalam setahun. Masalah ini menyebabkan kualiti kerja golongan yang perlu bercakap banyak dalam kerjaya mereka terjejas.
Menurut Ketua Jabatan Telinga, Hidung dan Tekak, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Madya Dr Rahmat Omar, suara adalah bunyi yang terhasil akibat getaran korda suara disebabkan udara yang melalui peti suara (larinks) dan membuatkan dua korda suara menjadi rapat.

Korda suara adalah dua otot kecil berbentuk V yang terletak dalam peti suara dan bertanggungjawab dalam penghasilan suara. Ia terletak di antara pangkal lidah dan saluran tenggorok (pemakanan).

Apabila kita bercakap, korda suara tertutup rapat; terbuka sedikit ketika kita bernafas dan terbuka luas (menjadi bentuk V) apabila kita mencungap (bernafas dengan cepat). Dalam keadaan normal, korda suara bergetar apabila udara dari saluran pernafasan melaluinya untuk menghasilkan bunyi. Untuk lebih mudah faham, bayangkan korda suara seperti dua tangan kita. Apabila kita menepuk tangan, kita merapatkan dan merenggangkan dua-dua tapak tangan berulang kali. Kita boleh mendengar beberapa tepukan dalam masa seminit. Kadar tepukan ini boleh cepat atau lambat dan bunyinya pula boleh perlahan atau kuat.

Sama juga dengan korda suara kita. Dua korda suara akan merapat, berlaga dan renggang kembali untuk menghasilkan getaran. Proses ini berlaku dalam satu kitaran yang berulang-ulang. Udara yang keluar dari paru-paru akan melalui korda suara.

Jarak antara dua korda suara yang terbuka adalah sangat kecil iaitu hanya beberapa milimeter. Laluan udara ini akan terganggu akibat getaran korda suara dan menghasilkan bunyi dengan pergerakan mulut, lidah dan gigi.
Bunyi ini akan ditukarkan ke dalam bentuk yang boleh difahami melalui pergerakan lidah, mulut dan gigi dalam satu proses yang dipanggil artikulasi.

Kenyaringan suara bergantung kepada kadar getaran atau frekuensi korda suara yang berbeza mengikut umur dan jantina. Suara kanak-kanak yang lebih nyaring mempunyai kadar getaran sebanyak 250 Hertz (Hz) atau 250 kali sesaat, wanita dewasa (200 Hz) dan 125 Hz bagi lelaki dewasa.

Apabila umur meningkat, korda suara menjadi semakin kecil dan bergetar lebih perlahan. Ini sebabnya suara orang tua lebih rendah dan garau. Perubahan peti suara berlaku apabila kanak-kanak lelaki mencapai umur baligh dan menyebabkan suara mereka menjadi matang. Bagaimanapun, ada segelintir lelaki dewasa yang masih mempunyai suara seperti kanak-kanak atau seperti suara perempuan dan keadaan ini dipanggil ‘puber-phonia’.

Punca dan rawatan
Menurut Dr Rahmat, ada beberapa punca yang boleh masalah pada korda suara tetapi yang paling biasa ialah:
• Keradangan — Ia boleh disebabkan jangkitan virus seperti rhinovirus dan influenza. Ia biasanya berlaku apabila seseorang mendapat jangkitan tekak yang menyebabkan perubahan pada suara. Suara menjadi serak dan garau. Untuk kes seperti ini, rawatan biasanya bersifat simptomatik iaitu untuk menghilangkan gejala saja.

Lazimnya pesakit dinasihatkan berehat daripada bercakap supaya kecederaan lebih teruk pada korda suara tidak berlaku kerana ia dalam keadaan radang
Bagi masalah ini, doktor tidak memberi ubat antibiotik kerana antibiotik hanya untuk jangkitan bakteria, bukan virus. Untuk mengurangkan keradangan, pesakit boleh minum perahan lemon yang dicampur madu.

Keradangan juga boleh disebabkan gangguan asid dari perut (refluks laringitis); keadaan di mana asid dari perut mengalir balik (songsang) sehingga sampai ke peti suara.
Ia tidak sama dengan masalah asid refluks (pedih ulu hati) kerana ia tidak menyebabkan gangguan atau keradangan pada korda suara.

“Kebanyakan pesakit mengadu seolah-olah ada benda melekat pada tekak mereka apabila mahu menelan. Mereka juga mengalami gejala lain seperti berkahak, batuk tanpa sebab nyata dan suara menjadi parau.

Peti suara sangat sensitif dan tidak mampu menahan kesan asid perut. Peti suara mengalami keradangan walaupun hanya sekali terkena asid perut dan mengambil masa lama sehingga beberapa minggu untuk pulih.

“Kesan keradangan lebih ketara pada orang yang banyak menggunakan suara ketika bekerja. Ia boleh membuatkan kualiti kerja dan hidup individu berkenaan terjejas.

Masalah ini dirawat dengan memberi antasid selama tiga minggu hingga tiga bulan; bergantung kepada tahap keterukan keradangan korda suara dan tindak balas seseorang terhadap rawatan.

“Dalam sesetengah kes, doktor perlu lakukan endoskopi (memasukkan endoskop iaitu satu alat berkamera) untuk memastikan tiada punca lain menyebabkan keradangan dalam saluran makanan seperti kanser atau kehadiran bakteria Helicobacter pilori kerana ia boleh membuatkan rawatan antasid kurang berkesan.

“Dalam keadaan tertentu, bagi guru contohnya yang mengalami masalah suara, doktor boleh memberi surat kebenaran untuk mereka menggunakan alat pembesar suara ketika mengajar,” katanya.

• Ketumbuhan dan kanser
• Kecederaan peti suara
• Kelumpuhan urat saraf pada peti suara — Ia boleh disebabkan trauma atau kecederaan luaran yang mungkin berkaitan jangkitan virus atau pembedahan tertentu pada leher seperti pembedahan tiroid.

Kelumpuhan biasanya berlaku pada sebelah korda suara (dipanggil kelumpuhan aduktor). Ini menyebabkan satu korda yang lumpuh jauh dari korda suara yang normal dan membentuk ruang antara dua korda suara berkenaan. Kesannya, suara pesakit menjadi tidak normal.

“Untuk keadaan ini, doktor biasanya menggunakan pendekatan konservatif iaitu tunggu dan lihat selama enam bulan kerana ada ketikanya korda suara yang normal ‘bertolak ansur’ dengan berusaha bergerak mendekati korda suara yang lumpuh. Jika ini berlaku, suara boleh pulih.

Bagaimanapun, jika tiada tanda pemulihan, pembedahan mikro dilakukan supaya korda suara yang lumpuh boleh berfungsi semula. Pembedahan biasanya dilakukan segera, khususnya bagi individu yang memerlukan suara untuk bekerja seperti guru.

“Bagaimanapun, kini dengan adanya teknologi baru menggunakan elektromikrografi laringer (EMG laringer), doktor boleh mengenal pasti tahap kelumpuhan korda suara dan peluang untuk pulih. Kaedah baru ini membolehkan pesakit dirawat lebih cepat iaitu dalam tempoh tiga bulan selepas mengalami kelumpuhan korda suara,” katanya.

• Berkaitan dengan faktor fungsi dan psikologi l Penyalahgunaan suara atau penggunaan suara secara berlebihan — Ini adalah keadaan di mana penggunaan suara melebihi kapasiti peti suara dalam jangka masa tertentu. Untuk membolehkan kita bercakap, korda suara bergetar (seperti menepuk tangan) beratus kali sesaat. Namun jika terlalu banyak bercakap, bahagian korda suara yang berlaga mengalami trauma atau keradangan.

Jika keadaan ini berterusan (terus bercakap dengan kuat atau banyak bercakap), keradangan menjadi lebih buruk sehingga boleh menyebabkan perubahan struktur pada korda suara dengan kehadiran nodul (kulit pada korda suara menjadi keras seperti kalus), polip (bintil) atau sista (benjolan yang mengandungi lendir di bawah lapisan peti suara).

Pada peringkat awal, masalah nodul boleh atasi dengan terapi pertuturan tetapi jika masih tidak pulih, pembedahan mikro diperlukan untuk membuang nodul.

Polip boleh ‘tumbuh’ pada sebelah korda suara dan ia perlu dibuang melalui pembedahan mikro untuk memastikan tiada ketumbuhan lain pada korda suara.

Jika ia kecil, polip ini boleh kecut sendiri jika pesakit merehatkan peti suara mereka. Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, pesakit datang apabila keadaan agak teruk.

Kehadiran nodul, polip dan sista mengganggu pergerakan korda suara (ia tidak boleh tertutup dengan baik ketika bercakap). Seperti polip dan nodul, sista perlu dibuang melalui pembedahan mikro kerana jika dibiarkan, ia boleh berulang kembali.

“Selepas pembedahan, pesakit dinasihatkan berehat sepenuhnya daripada bercakap selama tiga hingga tujuh hari. Dalam tempoh ini mereka tidak boleh bercakap dan perlu menggunakan kaedah lain untuk berkomunikasi seperti melalui tulisan atau khidmat pesanan ringkas.

Cara mengenal pasti masalah suara
Ia boleh dilakukan dengan menjawab beberapa soalan mudah di bawah:
• Adakah suara anda berubah menjadi kasar atau serak?
• Adakah tekak anda sering terasa perit, gatal dan kering?
• Adakah anda perlu berusaha lebih untuk bercakap?
• Adakah anda perlu selalu berdehem untuk melegakan tekak?
• Adakah orang selalu bertanya sama ada anda selesema sedangkan anda sihat?
• Adakah anda sudah tidak boleh menjerit atau bercakap dalam nada tinggi?

Cara menjaga suara
Dr Rahmat berkata, cara paling mudah ialah dengan:
• Mengurangkan bercakap atau bercakap dengan nada biasa. Guna suara secara optimum.
• Minum air secukupnya iaitu sekurang-kurangnya lapan gelas sehari supaya korda suara sentiasa dalam keadaan lembap. Jangan tunggu hingga terasa haus kerana ia tanda akhir yang menunjukkan badan anda kekurangan air.
• Elak minum terlalu banyak kopi kerana ia mempunyai kesan diuretik (kerap buang air kecil) yang menyebabkan anda boleh kekurangan air jika tidak cukup minum.
• Kurangkan atau berhenti merokok atau minum minuman beralkohol. Asap rokok boleh menyebabkan keradangan korda suara.
• Jika terpaksa bercakap dalam keadaan bising, gunakan pembesar suara.
• Elak makanan pedas dan berempah, terutama apabila anda mulai terasa sakit tekak.
• Jika suara serak akibat jangkitan, perlu rehatkan peti suara anda supaya proses pemulihan boleh berlaku lebih cepat.
• Kurangkan berdehem untuk melegakan tekak. Ini kerana berdehem boleh diumpamakan seperti melagakan korda suara dengan kuat dan ia boleh mencederakan korda suara. Cara terbaik untuk melegakan tekak ialah minum sedikit air.
• Jika suara berubah dan tidak pulih dalam tempoh dua hingga tiga minggu, dapatkan pemeriksaan lanjut.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penyakitkordasuara/myMA/myArticle
21/2/10 6.00pm

Monday, February 8, 2010

pengetahuan bahasa (linguistik)

http://nahulinguistik.wordpress.com/

banyak maklumat berkaitan linguistik dimasukkan, antaranya:

1. Proses Pemerolehan Bahasa Pertama
2. wacana
3. Dialek dan bahasa

semoga lebih ramai lagi pakar-pakar @ ahli bahasa menyumbangkan bahan atau ilmu berkaitan bahasa ke dalam dunia maya ini supaya agar pengetahuan mengenai bahasa dan ilmu pengetahuan masyarakat terhadap bahasa akan bertambah.

Ilmu bahasa dalam teknologi maklumat

http://bmpmrspm.blogspot.com/

blog ni bagus untuk pelajar untuk menambah pengetahuan mengenai Bahasa Melayu. Bahan yang disedikan bukan saya berguna untuk pelajar di peringkat sekolah menengah malah boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat sebagai salah satu cara untuk mendapatkan ilmu di dalam dunia IT ini. Maklumat yang diperoleh bukan saja mudah dan cepat malah padat dan boleh dipercayai.

USM cipta perisian kenal pasti penyakit kecelaruan bahasa

GEORGETOWN: Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencipta satu sistem sokongan untuk membantu pegawai perubatan mengenal pasti masalaAh percakapan kanak-kanak yang bermasalah.

Ketua pasukan penyelidik itu, Dr Rozaida Abdul Rauf berkata perisian Sistem Sokongan Keputusan Bahasa Klinikal (CLDSS) adalah ciptaan terbaru dan pertama di dunia bagi mengenal pasti masalah kecelaruan bahasa di kalangan kanak-kanak.

Katanya, penyelidikan yang bermula sejak Disember 2006 hingga November tahun lalu itu dibangunkan dengan kos RM186,000 dan menggabungkan kepakaran dalam bidang psikolinguistik dan Teknologi Maklumat (IT).

"Perisian itu mampu mengenal pasti dengan tepat punca sebenar berlaku kecelaruan bahasa seawal mungkin antara usia setahun hingga enam tahun sebelum seseorang kanak-kanak itu memasuki persekolahan," katanya pada sidang akhbar di sini.

Dr Rozaida berkata, diagnosis imbasan otak akan dilakukan ke atas kanak-kanak bagi mengenalpasti punca dan jenis kecelaruan bahasa yang dihidapi mereka.

Katanya, daripada diagnosis itu, perisian berkenaan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak itu sebelum dirujuk kepada pakar perubatan seperti pakar pathologi bahasa untuk tindakan selanjutnya.
"Kanak-kanak yang mempunyai masalah kecelaruan
bahasa dapat dipulihkan dengan kos yang rendah jika dikenalpasti pada peringkat awal," katanya sambil menambah ciptaan mereka itu hanya untuk mengenal pasti masalah bukan mengubatinya.

Katanya, sejak perisian itu dihasilkan, USM telah menjalankan kajian terhadap 30 kanak-kanak yang bermasalah.

"Daripada jumlah itu, kami berjaya mengesan dengan tepat 30 jenis kecelaruan berbahasa yang berbeza antara setiap kanak-kanak bagi membantu proses rawatan mereka di hospital.

"Pihak hospital hanya mampu mengesan jenis kecelaruan bahasa dengan ketepatan 13 peratus, kami dapat mengenalpasti dengan 100 peratus tepat," katanya.
Dr Rozaida berkata, ibu bapa juga perlu peka terhadap perkembangan bahasa anak-anak bagi mengelakkan masalah itu sukar dirawat jika sudah melepasi tahap pra-sekolah.

"Kadang-kadang ada kanak-kanak yang sudah berusia empat tahun pun hanya baru boleh sebut satu perkataan manakala ada bayi yang senyap saja dan keadaan itu perlu dipantau bagi mengenalpasti sama ada mereka ada masalah kecelaruan bahasa," katanya.

Katanya, susulan penghasilan perisian itu, kumpulan penyelidiknya juga akan menjalankan tiga projek dalam usaha menghasilkan program sesuai bagi tujuan merawat kecelaruan bahasa di kalangan kanak-kanak yang mengalami masalah berkenaan.

Katanya, setakat ini perisian berkenaan masih belum dipasarkan danmasih dalam proses paten.

"Bagaimanapun, sebuah syarikat IT di Kuala Lumpur berminat untuk membelinya," katanya. - Bernama

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Mutakhir/20100120153803/Article/