Wednesday, December 28, 2011

penyakit kadiovaskular

Berita Harian Online | Negara berisiko 'muflis' jika gagal tangani kos rawatan penyakit NCD

Oleh Ratinawati Rasidi
ratinawati@bharian.com.my
2011/12/29

MASYARAKAT pernah beranggapan penyakit kadiovaskular, khususnya jantung dan strok, diabetes dan kanser ialah penyakit 'orang kaya' tetapi ternyata ia tidak seperti yang difikirkan.

Malah, golongan berpendapatan rendah dikatakan lebih terdedah kepada risiko kerana cara dan gaya pilihan hidup yang boleh mengundang penyakit terbabit.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggap penyakit tidak berjangkit atau Non-Communica-ble Diseases (NCD) ini sudah menjadi wabak iaitu satu penularan penyakit peringkat global yang perlu ditangani segera dengan berkesan.
NCD juga dikatakan penyebab kematian pramatang (usia di bawah 60 tahun) utama di dunia, terutama dalam kalangan penduduk negara membangun dan produktif dalam ekonomi.

Dianggarkan 25 peratus daripada sembilan juta kematian pramatang peringkat global itu sebenarnya boleh dicegah seandainya pesakit mengambil langkah pencegahan.

Penyakit yang tidak merebak daripada seorang individu kepada individu lain ini, berpunca daripada perkongsian tiga faktor risiko utama seperti gaya hidup yang tidak aktif, pemakanan yang tidak sihat dan budaya ketagihan rokok.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Feisul Idzwan Mustapha, berkata penduduk kawasan luar bandar berdepan dengan risiko yang lebih tinggi berbanding bandar.
“Risiko sebenarnya lebih tinggi dalam kalangan golongan berpendapatan rendah kerana mereka lebih cenderung membelanjakan wang untuk pembelian makanan yang tidak sihat, tidak bersenam dan lebih buruk lagi kebanyakan mereka sukar meninggalkan tabiat merokok,” katanya, baru-baru ini.

Selain peringkat global, penyakit NCD menjadi penyebab utama kematian pramatang di Malaysia sejak 1990-an lagi.

Statistik kematian akibat penyakit NCD di hospital kerajaan sejak 2000 hingga 2008 meningkat daripada 10,053 kes kepada 17,175 kes membabitkan kematian di bawah usia 60 tahun.

Fakta Kesihatan 2010 Kementerian Kesihatan menggariskan 10 punca utama kemasukan ke hospital, dua jenis penyakit yang mempunyai kaitan dengan NCD adalah penyakit berkaitan sistem pernafasan (9.56 peratus) dan sistem peredaran darah (6.88 peratus).

Kedua-dua penyakit ini juga ialah antara dua punca teratas daripada 10 penyebab kematian di hospital kerajaan yang masing-masing mewakili 25.35 peratus dan 18.46 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian yang dicatatkan.

Apa yang menjadi kebimbangan kementerian ialah kedudukan Malaysia yang tersenarai sebagai 10 negara yang mempunyai kewujudan penyakit diabetes tertinggi antara negara membangun di dunia. Kini dianggarkan kira-kira satu daripada lapan rakyat dewasa Malaysia menghidap diabetes dan hampir satu daripada tiga menghidap tekanan darah tinggi.

Jumlah ini secara keseluruhannya mewakili anggaran 700,000 pesakit diabetes yang mendapatkan rawatan di lebih 800 kemudahan kesihatan kerajaan.

Dr Fiesul Idzwan berkata, keadaan yang amat kritikal ini bukan saja menyumbang kepada peningkatan jumlah pesakit tetapi ia juga bakal menambah perbelanjaan kerajaan terutama dalam membekalkan ubat-ubatan untuk merawat pesakit.

Peruntukan yang besar juga bakal mendatangkan kesan kepada perbelanjaan kerajaan kerana tidak mustahil akan menjadikan negara berhadapan dengan risiko muflis jika keadaan ini tidak ditangani dengan bijak.

Kewujudan diabetes dan ‘hypercholesterolaemia’ meningkat melebihi jangkaan. Apa yang menjadi kebimbangan ialah jumlah individu yang masih belum mendapatkan pemeriksaan doktor. Ini membuktikan masih ramai rakyat Malaysia tidak menjalani pemeriksaan saringan kesihatan secara tetap dan berkala.

KSSR lengkapi kemahiran hadapi cabaran

Berita Harian Online | KSSR lengkapi kemahiran hadapi cabaran

2011/12/29

KURIKULUM Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan sebagai usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai relevan untuk memenuhi keperluan semasa serta menghadapi cabaran abad ke-21.

Pelaksanaan KSSR menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) bermula sesi persekolahan Januari lalu bertujuan meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran bahasa Inggeris.
KSSR digubal dalam pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan dan pembelajaran yang perlu dicapai murid dalam satu tahap persekolahan.
Standard Kandungan ialah penyataan spesifik mengenai perkara murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai, manakala Standard Pembelajaran ialah penetapan kriteria atau petunjuk kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.

Berikut adalah soal jawab KSSR bagi membolehkan kita memahami konsep diperkenalkan Kementerian Pelajaran.

Apakah perbezaan KSSR dengan KBSR?

KSSR adalah reka bentuk kurikulum berasaskan 6 tunjang iaitu Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai; Kemanusiaan, Perkembangan Fizikal dan Estetika; Sains dan Teknologi serta Keterampilan Diri.
KSSR menggunakan Elemen Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) secara eksplisit dengan memfokuskan kepada 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul).

KBSR adalah reka bentuk kurikulum berasaskan tiga bidang iaitu Komunikasi; Manusia dan Alam Kelilingnya dan Perkembangan Diri Individu. Kaedah ini menggunakan Elemen Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif dengan fokus kepada 3M (Membaca, Menulis dan Mengira)

Adakah terdapat perubahan mata pelajaran dalam KSSR Tahap Satu?

Dalam KSSR Tahap Satu, ada beberapa mata pelajaran baru di samping penggabungan semua disiplin ilmu dalam Modul Teras Asas, Modul Teras Tema dan Modul Elektif bagi pengurusan kurikulum lebih berkesan.

Mengapa Sains tidak dijadikan Modul Teras Asas?

Sains tidak dijadikan Modul Teras Asas kerana Modul Teras Asas memberi fokus kepada literasi dan numerasi, kesejahteraan diri dan pembangunan rohani. Manakala Sains pula diperkenalkan dalam Modul Teras Tema bagi memberi pengetahuan asas disiplin ilmu Sains.

Adakah murid akan bosan di dalam kelas dengan penambahan waktu Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) bahasa Inggeris?

Tidak. Kaedah dan teknik yang pelbagai diperkenalkan oleh guru untuk menarik minat murid. Modul Language Arts yang menekankan pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa. P&P bahasa yang menarik dan efektif dijalankan melalui aktiviti menyanyi, jazz chants, choral speaking, drama, muzik dan bahan bantu mengajar lain yang sesuai.

Apakah usaha dilakukan bagi menyediakan guru bagi pelaksanaan KSSR?

KPM menjalankan kursus penyebaran KSSR kepada semua guru terbabit dalam pelaksanaan KSSR. Guru juga dibekalkan bahan sokongan dan boleh mengakses maklumat daripada laman web di KPM seperti berikut: http://www.moe.gov.my/bpk atau menghubungi Bilik Gerakan KSSR di nombor telefon 03-88842283.

S: Adakah KSSR mampu mendorong kreativiti guru dan murid dalam P&P?

J:
KSSR mampu mendorong meningkatkan kreativiti guru dan murid melalui pendekatan P&P seperti didik hibur dan elemen nilai tambah merentas kurikulum. Guru dibekalkan dengan buku panduan kreativiti untuk membantu pelaksanaan P&P.

S: Dalam tahap 1, setakat manakah pendidikan seks diajarkan?

J:
Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) tidak diajar sebagai satu mata pelajaran tetapi sebagai komponen yang besar (75%) dalam mata pelajaran Pendidikan Kesihatan.

Sunday, December 25, 2011

Belia disaran manfaat peruntukan kerajaan

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri


IPOH 25 Dis - Para belia disaran supaya memanfaatkan dana berjumlah RM400 juta yang diperuntukkan di bawah Belanjawan 2012 untuk meningkatkan kemahiran mereka.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, separuh daripada peruntukan itu adalah bagi meningkatkan kemahiran mereka sementara separuh lagi disalurkan kepada syarikat modal teroka milik kerajaan MyCreative Venture Capital.

"Melalui MyCreative Venture Capital, golongan belia yang ingin menceburi bidang inovasi dan kreatif boleh mendapatkan dana bagi memulakan perniagaan," katanya di sini hari ini.

Katanya lagi, selain peruntukan tersebut, golongan belia yang ingin menceburi bidang keusahawan boleh mendapat dana permulaan perniagaan melalui Amanah Ikhtiar Malaysia yang menyediakan peruntukan sebanyak RM2.1 bilion.

Beliau seterusnya memberitahu, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) turut menyediakan dana sebanyak RM300 juta kepada golongan belia yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun menambah, selaras dengan sasaran kerajaan menjayakan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi, pembangunan jati diri golongan belia mesti diberi keutamaan. - Bernama

Jelasnya, belia perlu dipersiapkan sepenuhnya bagi menggalas cabaran membawa negara ke peringkat yang lebih tinggi.

Selain peruntukan tersebut, tambahnya, golongan belia yang ingin menceburi bidang keusahawan boleh mendapat dana permulaan perniagaan melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM2.1 bilion.

Ahmad Husni juga berkata, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) turut menyediakan dana sebanyak RM300 juta kepada golongan belia yang ingin menceburi bidang keusahawanan. — BERNAMA

Sanggup habis RM2,000 sebulan untuk kecantikan

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

WANITA dan kecantikan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Rentetan itu membuatkan wanita di seluruh negara taksub untuk mencari alternatif bagi memastikan diri tampil jelita.
Justeru, tidak hairanlah berikutan obses kepada kecantikan, produk kosmetik menjadi tumpuan utama.
Persoalannya, sejauh mana wanita Malaysia sanggup berbelanja besar bagi tujuan itu dan apa pandangan mereka terhadap produk kosmetik.

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Demi untuk tampil cantik, wanita Malaysia dikatakan sanggup berhabis sehingga RM2,000 setiap bulan semata-mata untuk membeli produk kosmetik pelbagai jenama yang terdapat di pasaran.
Jika tidak, masakan rakyat negara ini diunjur sanggup berbelanja sehingga AS$1.1 bilion (RM3.42 bilion) tahun lalu hanya untuk membeli produk kosmetik dan kecantikan.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Kuala Lumpur mendapati, kebanyakan wanita berumur 18 hingga 30 tahun yang ditemui, pasti memakai produk kosmetik sekurang-kurangnya bahan asas seperti bedak kompak, gincu, pembayang mata atau pemerah pipi.
Perbelanjaan ini tidak mencakupi perbelanjaan lain seperti pakaian, produk penjagaan kulit, rambut dan penjagaan kesihatan.

Tuesday, December 13, 2011

radang paru-paru atau pneumonia

Berita Harian Online | Pembunuh si kecil

Sikap kurang peka ibu bapa terhadap radang paru-paru boleh ragut nyawa anak

SABAN tahun, serangan radang paru-paru atau pneumonia membunuh kira-kira 1.4 juta penduduk dunia terutama kalangan kanak-kanak yang turut menjadi penghidap utama penyakit itu.
Angka berkenaan menunjukkan kehilangan nyawa akibat pneumonia adalah melebihi kematian yang disebabkan penyakit berbahaya lain seperti AIDS, malaria dan tuberkulosis atau tibi.
"Ada kes seorang penghidap kanak-kanak yang baru saja hampir sembuh selepas menerima rawatan, kembali kritikal dan meninggal dunia apabila ibu bapanya mengambil tindakan sambil lewa dengan menghantarnya ke tadika, walaupun dia sepatutnya diberi rehat mencukupi. - Dr Yong Junina Fadzil, Pakar Pediatrik
Di Malaysia, statistik Kementerian Kesihatan membuktikan, pneumonia berada pada kedudukan kelima penyakit pembunuh tertinggi kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

Pneumonia adalah penyakit yang disebabkan jangkitan virus, kuman atau bakteria ke bahagian paru-paru seseorang dan biasanya, ia banyak dihidapi golongan kanak-kanak dan tua.

Awalnya, selepas dijangkiti virus, kuman atau bakteria, seseorang akan mengalami simptom-simptom pneumonia seperti batuk serta selsema sebelum ia merebak ke dalam sistem pernafasan dan menyerang paru-paru.

Pakar Perubatan Kanak-Kanak, Dr Yong Junina Fadzil, berkata penyakit itu perlu dikesan dan dirawat secepat mungkin bagi mengelaknya menjadi serius sehingga boleh meragut nyawa.
Bagaimanapun, katanya, di negara ini, kesedaran masyarakat terutama golongan ibu bapa berhubung penyakit berkenaan adalah masih terlalu rendah ekoran tiada kefahaman meluas seperti dalam konteks memahami simptom, kepentingan rawatan dan langkah pencegahan.

“Kekurangan pengetahuan ini menyebabkan mereka tidak menyedari bahaya penyakit berkenaan atau kepentingan mendapatkan rawatan awal, sekali gus meningkatkan jumlah kematian tahunan akibat masalah kesihatan itu.

“Pneumonia mempunyai banyak simptom antaranya demam panas, batuk berkahak atau tanpa kahak, sakit dada, tiada selera makan, rasa tidak sihat, sering merengek (bayi dan kanak-kanak), pernafasan laju, susah bernafas, muntah dan cirit-birit.

“Jika anda atau ahli keluarga anda mengalami satu atau lebih daripada simptom ini, ia mungkin pneumonia. Usah bertangguh, sebaliknya segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan pandangan dan rawatan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan ‘Meningkatkan Kesedaran Masyarakat Di Negara Ini Berhubung Pneumonia,’ bersempena Hari Pneumonia, baru-baru ini. Usaha itu diperkenalkan Gabungan Global menentang Pneumonia Kanak-Kanak yang dianggotai 125 badan bukan kerajaan, pertubuhan amal, institusi akademik, agensi kerajaan dan beberapa yayasan bagi menggalakkan tindakan masyarakat dunia di dalam usaha menentang, merawat serta mengelakkan jangkitan penyakit berkenaan.

Dr Yong Junina berkata, pengalamannya mengendalikan kes Pneumonia dalam kalangan kanak-kanak menunjukkan sikap ibu bapa yang menganggap simptom dialami anak mereka itu tidak berbahaya, menjadi punca pesakit tidak dapat dirawat awal sehingga menemui kematian.

“Kebanyakan ibu bapa yang membawa anak mereka ke klinik saya tidak tahu dan tidak menunjukkan kebimbangan apabila saya memberitahu anak mereka diserang pneumonia. Malah mereka menganggap ia masalah kesihatan ringan.

“Ada kes yang mana seorang penghidap kanak-kanak yang baru saja hampir sembuh selepas menerima rawatan, kembali kritikal dan meninggal dunia apabila ibu bapanya mengambil tindakan sambil lewa dengan tetap menghantarnya ke tadika, walaupun dia sepatutnya diberi rehat mencukupi terlebih dulu.

“Perlu diingatkan yang penyakit ini disebabkan banyak faktor seperti persekitaran kotor, lokasi terlalu sesak, tempat berhabuk, cuaca buruk, ketahanan sistem imunisasi tubuh rendah atau penyakit dibawa individu sekeliling, jadi pesakit perlu 'dikuarantin' dari semua keadaan ini sehingga benar-benar sembuh,” katanya.

Jelas Dr Yong Junina, dari kaedah rawatan, ada beberapa cara berkesan yang akan digunakan pegawai perubatan dalam mengatasi penyakit dihidapi.

“Bagi pneumonia yang disebabkan virus, doktor hanya akan memberikan ubat pil dan penghidap harus rehat dan minum air secukupnya kerana sistem imunisasi badan akan memainkan peranan dalam merawatnya.

“Jika penyakit dialami tidak serius dan disebabkan bakteria, doktor akan membekalkan antibiotik dan ubat tetapi sekiranya jangkitannya serius, penghidap akan diberikan ubat melalui suntikan,” katanya.

Namun, bagi kes lebih serius, penghidap akan dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan bantuan rawatan lanjut seperti bekalan oksigen dan antibiotik.

Baginya, seperti kata pepatah ‘mencegah lebih baik daripada mengubati,’ usaha untuk mengelakkan jangkitan penyakit ini adalah paling penting berbanding merawatnya.

Bagi tujuan itu, masyarakat perlu menjalani gaya hidup sihat, mengutamakan kebersihan diri, mengamalkan penyusuan susu ibu kepada bayi, tidak berada di kawasan sesak, menutup hidung ketika cuaca buruk apabila keluar rumah dan sentiasa mementingkan kesihatan sekeluarga.

“Sekiranya anda, ahli keluarga atau anak anda mengalami simptom pneumonia, segera dapatkan nasihat atau rawatan doktor bagi memastikan tahap kesihatan anda tidak menjadi semakin buruk,” katanya.

“Lebih penting, pada waktu yang diperlukan atau dinasihatkan doktor seperti jika anda ingin melancong atau pulang dari sesebuah lokasi luar negara, dapatkan vaksin seperti Pertussis (Tibi), Vaksin Measles (Demam Campak), Vaksin Influenza atau Vaksin Pneumococcal.

“Vaksin ini berupaya meningkatkan sistem imunisasi tubuh anda bagi mencegah sebarang jangkitan penyakit,” katanya.

radang paru-paru atau pneumonia

Pembunuh si kecil
Oleh Faizatul Farhana Farush Khan
bminggu@bharian.com.my
2011/11/20

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pembunuhsikecil/Article/index

INFO Pneumonia
Golongan berisiko:

  • Kanak-Kanak terutama pada usia lima tahun dan ke bawah
  • Dewasa terutama pada usia 65 tahun dan ke atas
  • Mempunyai tahap sistem ketahanan badan rendah seperti pembawa HIV/Aids
  • Penghidap masalah kesihatan yang kronik
  • Individu di kawasan sesak atau kotor
  • Masyarakat atau penduduk di kawasan tidak membangun atau miskin

    Simptom
  • Demam panas
  • Batuk berkahak atau tanpa kahak
  • Sakit dada
  • Tiada selera makan
  • Rasa tidak sihat
  • Sering merengek (bayi dan kanak-kanak)
  • Pernafasan laju atau tercungap-cungap
  • Sukar bernafas
  • Muntah
  • Cirit-birit

    Antara langkah pencegahan
  • Menjalani gaya hidup sihat
  • Mengutamakan kebersihan diri
  • Mengamalkan penyusuan susu ibu
  • Elak di kawasan sesak
  • Menutup hidung ketika cuaca buruk.
  • Sunday, December 4, 2011

    BISKUT ARAB

    Bahan-bahan:
    500 gm tepung gandum
    250 gm minyak sapi
    250 gm gula kastor

    Cara-cara:
    1. Tepung gandum di goreng dahulu. Sejukkan kemudian diayak.
    2. Campurkan tepung gandum dengan minyak sapi dan gula kastor.
    3. Gaul rata hingga boleh diuli.
    4. Bulat-bulatkan dan masukkan dalam paper cup.
    5. Bakar selama lebih kurang 10-15 min.

    ni bukan resepi sendiri... cari kt http://www.myresipi.com/ sedap gak kuih ni. ari raya ari tu ada gak cuba. tak sabar la pula nak balik rumah buat kuih ni... huhuhu