Monday, April 19, 2010

Potensi anak Sindrom Down

Berita Harian Online | Potensi anak Sindrom Down

Potensi anak Sindrom Down
Oleh Lailetaty A Rahman
bminggu @bharian.com.my
2010/03/21

Anak-anak Sindrom Down diberi pendidikan awal bagi meningkatkan kemahiran komunikasi mereka.
Anak-anak Sindrom Down diberi pendidikan awal bagi meningkatkan kemahiran komunikasi mereka.
Sokongan, pendidikan awal mampu serlah kebolehan si kecil istimewa

Ini kerana, selain mempunyai hati dan perasaan, penghidap SD ini juga sebenarnya mampu dibantu untuk pulih ke tahap paling maksimum dan menjalani kehidupan seperti insan normal lain. Syaratnya, mereka haruslah diberi pendedahan dan pendidikan awal pada usia seawal mungkin.
Apakah yang dimaksudkan dengan sindrom down ini? Berbanding individu normal yang memiliki 23 pasang kromosom, kanak-kanak SD ini pula memiliki tiga kromosom pada pasangan kromosom yang ke 21 dan ini yang membuatkan mereka dilahirkan sebagai anak istimewa.
"Masih ada ibu bapa yang enggan membawa anak mereka keluar dari rumah. Perkara berlaku kerana ibu bapa perlu memberi ruang kepada anak ini"

Angie Heng
Pengarah Pentadbiran
Pusat Kebangsaan Yayasan
Sindrom Down Kimanis
Dan tarikh 21 Mac itu dipilih sebagai melambangkan keistimewaan 21 kromosom penghidap sindrom ini. Di Malaysia saja, dianggarkan satu kes bagi setiap 600 kelahiran. Perlu diingat, sindrom ini bukannya bertumpu kepada satu-satu bangsa tertentu sebaliknya berlaku kepada semua bangsa di seluruh dunia. Dan, biarpun berbeza bangsa mereka sekali pun, rupa dan sifat mereka kelihatan sama.

Ini berkait rapat dengan ciri fizikal yang ketara seperti bertubuh pendek, kepala kecil, mata agak senget, hidung kecil dan agak leper. Tahap perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak SD juga agak lambat berbanding kanak-kanak biasa.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga berisiko mempunyai masalah kesihatan seperti jantung berlubang, mudah dijangkiti selesema, kurang pendengaran, masalah pertuturan dan penglihatan kurang jelas.

Biarpun dunia menyaksikan perkembangan teknologi kesihatan yang memberangsangkan, sayangnya, masalah SD ini memang tidak boleh diubati. Namun itu tidak bererti mereka tidak layak menikmati kehidupan, sebaliknya apa yang lebih penting bagi penghidap SD adalah perangsang dan sokongan bagi membantu mereka menempuh kehidupan.
Malah ‘penawar’ sebenar golongan ini adalah pendedahan awal bagi meningkatkan perkembangan mereka. Malangnya, tidak ramai ibu bapa yang mahu tampil mendapatkan bantuan, sebaliknya lebih suka memerapkan anak di rumah. Jika ada pun, ia membabitkan mereka di usia remaja yang sukar dibentuk.

Menyedari kepentingan ini, pertubuhan seperti Pusat Kebangsaan Yayasan Sindrom Down Kiwanis (KSDF) menjadi tempat rujukan ibu bapa memastikan anak kesayangan mendapat pendidikan khas seawal mungkin. Pengarah Pentadbirannya, Angie Heng, berkata dalam apa keadaan pun, apa yang lebih penting adalah sikap ibu bapa itu sendiri.“Masih ada ibu bapa yang enggan membawa nak mereka keluar dari rumah. Perkara ini tak sepatutnya berlaku kerana ibu bapa perlu memberi ruang kepada anak ini. Mereka sepatutnya dibenarkan untuk bercampur dengan orang lain selain adik beradik dan melayan mereka seperti kanak-kanak normal lain,” katanya.

Menurut Heng, di pusat itu misalnya, mereka menerima kanak-kanak berusia seawal dua bulan.“Bagi Program Simulasi Bayi terbuka kepada usia baru lahir hingga 18 bulan, manakala Program Kanak-Kanak pula bermula usia 18 bulan hingga dua tahun. Program biasa membabitkan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun yang melatih kanak-kanak SD meningkatkan kemahiran komunikasi dan sosial mereka. Kita menetapkan yuran Program Simulasi Bayi berjumlah RM130 sebulan dan Program Biasa pula RM160. Namun ibu bapa boleh membuat rayuan dan berbincang dengan pihak Kiwanis bagi mengurangkan yuran berkenaan," katanya.

Heng berkata, pendidikan awal sehingga mencapai usia enam tahun ini amat penting kerana ia sebenarnya melatih kanak-kanak SD ini agar lebih berdikari dan bercampur gaul dengan rakan lain bagi meningkatkan kemahiran sosial mereka. Masyarakat juga, katanya, perlu mengubah persepsi negatif mereka yang beranggapan golongan SD ini tidak berguna. “Ramai kanak-kanak SD yang berjaya memasuki sekolah biasa dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain. Ada juga yang berjaya memasuki sekolah kerajaan dan menduduki peperiksaan ujian awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia. Malah ada yang bekerja di sektor swasta,” katanya. Setakat ini, Kiwanis mempunyai tujuh cawangan dengan bilangan 300 pelajar sekolah di seluruh negara. Yayasan yang ditubuhkan lebih 21 tahun lalu bermatlamat membantu kanak-kanak istimewa ini mengoptimumkan potensi mereka.

Sempena sambutan Hari Sindrom Down Sedunia, Heng berkata, pusat itu mengadakan pelbagai acara termasuk pertunjukan peragaan, persembahan nyanyian dan kebudayaan. Sebelum ini sambutan diadakan di pusat perubatan bagi menyedarkan warga hospital dan orang ramai mengenai SD.

FAKTA: Sindrom Down
  • Sindrom ini mengambil nama Dr Langdon Down, orang pertama yang menjelaskan penyakit ini pada tahun 1866
  • Masalah ini disebabkan kelainan kromosom menyebabkan seseorang kanak-kanak itu menunjukkan sifat fizikal khusus yang boleh dikenali sewaktu bayi lagi.
  • Berlaku dalam satu kelahiran bayi bagi setiap 700 hingga 1,000 kelahiran.
  • Ramai pakar menyatakan usia lanjut ibu iaitu berumur 35 tahun ke atas sebagai risiko tinggi melahirkan anak Sindrom Down. Namun, ibu ibu muda juga tidak terkecuali daripada risiko itu.
  • Sindrom ini ada pada semua bangsa di seluruh dunia. Biar apa bangsa mereka sekali pun, rupa dan sifat mereka kelihatan sama.
  • Ciri fizikalnya termasuk bertubuh pendek, kepala kecil, mata agak senget, hidung pendek dan leper.
  • Pertumbuhan yang lambat.