Setiap orang mempunyai jawapannya yang tersendiri. Pada saya, jawapan bagi persoalan ini sudah semestinya BI adalah satu subjek yang digeruni. Mungkin disebabkan faktor-faktor tertentu seperti malu, takut guru dan sering ditertawakan oleh rakan sebaya. Selain itu terdapat pelbagai lagi alasan mengapa Bahasa Inggeris menjadi satu subjek yang menggerunkan.
Cara pembelajaran Bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah tidak menjadi masalah yang besar pada saya tetapi semua berubah apabila mula melangkahkan kaki ke peringkat yang lebih tinggi (sekolah menengah). Pada hari pertama belajar Bahasa Inggeris di sekolah menengah saya mula sedar betapa berbezanya cara pembelajaran yang terpaksa saya lalui berbanding dengan sekolah rendah.
Cara pembelajaran di peringkat sekolah rendah saya sangat mudah. Masuk kelas dan dengar apa yang diajar oleh guru. Apabila waktu BI sudah tamat tutup buku dan tunggu saja guru lain masuk ke dalam kelas untuk mengajar subjek lain. Mudah kan? Mudah ke? Walaupun mudah saja bunyinya tetapi itu tidak bermakna saya tidak ada kerja sekolah dan tidak perlu membuat kerja sekolah. Kerja sekolah tetap kerja sekolah dan itu yang paling saya tidak suka. Ada ke orang yang suka kerja sekolah?
Emm… rasanya bahagian kerja sekolah ni yang paling tidak seronok dan yang saya tidak suka tentang BI pada waktu itu. Pada saya sama ada saya cuba untuk menyiapkannya atau tidak itu bukan sesuatu yang penting. He..he.. ada ke orang yang akan bersetuju dengan pendapat saya tu? Bukan sebab saya menganggap subjek BI tidak penting tetapi kadang-kala menjadi sesuatu yang menyakitkan apabila didenda berdiri di luar kelas sehingga dapat menyiapkan kerja yang diberi. Walaupun hanya satu soalan yang tidak siap dendanya tetap sama.
Dalam keluarga saya, saya anak pertama. Mak dan ayah bukanlah orang yang berpelajaran tinggi. Oleh itu, menjadi sesuatu yang sukar untuk saya bertanya kepada mak dan ayah berkaitan subjek BI. Niat di hati bukanlah nak menyalahkan mereka. Tetapi sekadar nak beri tahu bukan mudah untuk belajar BI pada waktu itu. Susah senang kerja sekolah yang diberikan tidak ada sesiapa yang boleh membantu. Jadinya apabila tidak dapat menyiapkan kerja disebabkan tidak faham atau tidak tahu jawapan apa yang perlu dilakukan adalah tunggu saja denda yang akan diberikan. Pada waktu itu saya merasakan sungguh tidak adil apabila saya berusaha untuk menyiapkan kerja yang diberi akhir-akhir sekali didenda berdiri di luar kelas sehingga dapat menyiapkan kerja. Masalahnya bagaimana kerja sekolah itu nak disiapkan kalau soalan pun saya tidak faham.
Nak meniru? Pelajar sekolah rendah memang baik, patuh cakap guru dan apabila guru cakap jangan beri rakan tiru, jadinya tidak ada sesiapa yang akan memberi jawapan kepada rakan. Takut dimarah oleh guru. Biar la kawan karib ke, kawan sehidup semati ke, semuanya itu tidak menjadi alasan untuk membenarkan rakan meniru kerja sekolah yang diberikan. Ha..ha.. kelakarkan. Sebenarnya ada lagi yang lebih kelakar dan menyakitkan hati. Mahu tidaknya akibat sikap lurus rakan-rakan pada waktu itu saya terpaksa berdiri di luar selama satu jam untuk menyiapkan satu soalan. Bayangkan… hanya disebabkan tidak dapat menyiapkan satu soalan. Alangkah baiknya kalau cikgu memberi kelonggaran atau bertanyakan sebab saya tidak dapat menyiapkan kerja tersebut. NASIB BADAN…(tak mengaku bersalah lagi tu)
Itu saja la tentang waktu sekolah rendah. Banyak lagi sebenarnya tetapi tak nak la cerita semua.