Tuesday, July 27, 2010

RM2.4 juta pulih kanak-kanak kurang zat

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

KUALA KRAU 26 Julai - Kementerian Kesihatan memperuntukkan sebanyak RM2.4 juta bagi memulihkan 77,659 kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang mengalami kekurangan zat makanan di seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, peruntukan itu disediakan di bawah Program Pemulihan Kanak- Kanak Kekurangan Zat Makanan tahun ini untuk memastikan kanak-kanak di negara ini mencapai pertumbuhan optimum.

Katanya, dari 2000 hingga 2009, terdapat seramai 130,888 kes kanak-kanak kekurangan zat makanan di seluruh negara.

''Daripada jumlah itu, 53,229 kes telah diberikan bantuan makanan berzat dan hasilnya 24.3 peratus daripada mereka berjaya dipulihkan.

''Pada tahun lalu sahaja, 2,882 kanak-kanak kekurangan zat makanan di Semenanjung turut menerima bantuan makanan iaitu 45.9 peratus daripada mereka adalah anak Orang Asli," katanya.

Beliau berucap sempena lawatan kerja dan penyampaian bakul makanan kepada penduduk Orang Asli di Kampung Penderas dekat sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Pengurusan Kementerian Kesihatan, Datuk Ahmad Shafii Saidin.

Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar.

Menurut Rosnah, status pemakanan kanak-kanak di bawah umur lima tahun di negara ini berada pada tahap baik iaitu 93 peratus dan mempunyai berat badan normal.

Bagaimanapun, tambahnya, data klinik menunjukkan anak Orang Asli di bawah umur lima tahun berada pada tahap sederhana iaitu 73 peratus dan tidak mencapai piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kata beliau, mengikut WHO bagi sesebuah negara membangun, peratusan kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang mempunyai berat badan normal mestilah melebihi 90 peratus.

Sehubungan itu, kata Rosnah, Kementerian Kesihatan akan terus menyalurkan bantuan kepada pihak yang layak dan memerlukan bagi memastikan hasrat kerajaan untuk melihat generasi sihat dan cemerlang berjaya dicapai pada masa akan datang.

''Kementerian Kesihatan telah menjalankan pelbagai aktiviti dan promosi kesihatan termasuk melalui Kempen Cara Hidup Sihat. ...diharapkan orang ramai memberi sokongan terhadap usaha yang dijalankan Kementerian Kesihatan kerana hampir semua penyakit boleh dicegah melalui amalan gaya hidup sihat.

No comments: