Tuesday, October 5, 2010

Berita Harian Online | 1,000 warga miskin pulang wang ihsan

Berita Harian Online | 1,000 warga miskin pulang wang ihsan

Oleh Fazli Abdullah dan Amin Ridzuan Ishak
bhnews@bharian.com.my
2010/10/06

Penerima tak sanggup guna sumber haram

GEORGETOWN: Kira-kira 1,000 lagi warga tua dan miskin tegar di Pulau Pinang dijangka memulangkan semula wang ihsan RM100 yang diterima daripada kerajaan negeri selepas curiga dengan sumber wang yang mungkin berpunca daripada kegiatan perjudian.
Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Norman Zahalan, berkata lebih ramai golongan terbabit akan berbuat demikian dalam masa terdekat selepas menyedari duit yang mereka terima adalah daripada sumber judi, iaitu sumbangan Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.
Katanya, ini terutama selepas pengakuan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, sendiri sebelum ini yang menyatakan wang berkenaan diperoleh daripada kelab terbabit, sekali gus menyebabkan penerimanya tidak sanggup menggunakan wang daripada sumber haram.

“Wang itu akan diserahkan kepada UMNO bahagian sebelum diserahkan kepada Pemuda UMNO untuk dikembalikan kepada kerajaan negeri,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri yang dipengerusikan Ketua Pemuda Gerakan, Oh Tong Keong di sini, semalam.

Di BUKIT MERTAJAM, Guan Eng berkata, kerajaan Pulau Pinang bersedia menerima semula wang daripada penerima program penghargaan warga tua dan miskin tegar yang mengembalikan duit berkenaan kerana curiga dengan sumbernya yang didakwa daripada hasil judi.

Katanya, pihaknya juga bersedia memotong nama individu yang tidak mahu lagi wang berkenaan diberikan pada masa depan jika diminta berbuat demikian.
“Setakat ini, kami belum menerima wang yang dikembalikan, mungkin pada bila-bila masa kami akan menerimanya.

“Mereka yang hendak mengembalikan wang itu, perlu memberi nama dan menyatakan tidak mahu menerima lagi pada masa depan,” katanya selepas Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) di sini, semalam.

Minggu lalu, sekumpulan warga tua berusia 60 tahun ke atas dan golongan miskin tegar mengembalikan semula RM100 diberikan oleh kerajaan negeri selepas curiga berikutan pendedahan bahawa kerajaan negeri ada menerima sumber daripada syarikat judi untuk melaksanakan program itu.

Guan Eng yang sebelum itu menafikan kerajaan negeri ada menggunakan sumber judi untuk melaksanakan program berkenaan, akhirnya mengakui menerima sumbangan berjumlah RM2 juta daripada syarikat itu dan menegaskan, sumbangan itu tidak diberikan kepada orang Islam.

Dalam pada itu, Norman berkata, tindakan kerajaan Pulau Pinang yang berterusan menyalahkan BN terutama UMNO, berhubung kesilapan yang mereka lakukan termasuk pengagihan wang daripada sumber judi kepada warga tua dan miskin tegar, membuktikan kegagalan pentadbiran Guan Eng.

“Inilah sikap kerajaan negeri yang masih mempunyai mentaliti pembangkang dengan asyik menyalahkan pihak lain apabila mereka melakukan kesilapan,” katanya.

1 comment:

shu hana said...

bukannya niat di hati untuk mewujudkan persengketaan atau buruk sangka terhadap bangsa or agama lain.tp hakikatnya ini la yang terjadi kalau sebuah negara islam di pimpin oleh orang yang tidak beragama islam.sungguh menyedihkan... BUKALAH MATAMU UMAT ISLAM DI MALAYSIA!!!