Thursday, October 7, 2010

Berita Harian Online | 'Tangani isu remaja hamil ikut acuan kita'

Berita Harian Online | 'Tangani isu remaja hamil ikut acuan kita'

KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai pendekatan tersendiri dalam menangani isu remaja hamil serta masalah pembuangan bayi dan tidak sewenang-wenangnya mengambil atau meniru sepenuhnya pendekatan dari negara luar.

Tegas isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, apa yang penting untuk mengatasi masalah itu daripada terus berleluasa adalah menekankan elemen agama dan nilai kasih sayang dalam keluarga, selain pendekatan holistik dengan kerjasama agensi terbabit.

“Apa yang patut kita buat adalah mengikut acuan kita sendiri, kita tidak boleh mengambil bulat-bulat apa yang masyarakat sana (negara luar) laksanakan dan saya tidak fikir masyarakat kita juga akan terima dengan apa yang mereka laksanakan.
“Remaja di sana tidak menghadapi cabaran untuk berdepan masyarakat bila mengandung. Bagi saya kalau remaja yang masuk rumah perlindungan, mereka perlu diberi pengetahuan agama, supaya mereka kembali ke pangkal jalan, bukan dicemuh.

“Penting untuk membuat tindakan tegas untuk mengatasi masalah ini, ia tidak boleh dilaksana sesuka hati,” katanya pada sidang media di kediamannya di Sri Perdana, Putrajaya, dekat sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai input yang bakal dilaksana hasil lawatan beliau ke pusat ibu muda mengandung di Brussels, Belgium, baru-baru ini.

Mengulas mengenai Sidang Kemuncak Wanita-Wanita Pertama yang akan berlangsung Isnin ini di ibu negara, Rosmah yang mempengerusikan persidangan itu berkata, sehingga kini 31 negara mengesahkan kehadiran mereka membabitkan 20 wanita pertama dari seluruh dunia.
Selain itu, katanya, lima menteri yang mewakili wanita pertama mereka turut dijangka hadir, selain enam wakil dari negara yang tidak mempunyai wanita pertama dan lima menteri yang akan mengiringi wanita pertama dari negara masing-masing.

“Terpulang kepada wanita pertama dari negara dunia ini untuk menyuarakan isu dari negara masing-masing, apa yang pasti negara kita akan berkongsi pandangan mengenai masalah domestik, keganasan rumah tangga dan penagihan dadah yang berlaku di negara ini.

“Segala pandangan itu kelak akan ditentukan jawatankuasa bagi dijadikan deklarasi untuk dihantar ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk tindakan lanjut,” katanya yang sudah membuat persiapan rapi untuk persidangan itu.

No comments: