Saturday, January 14, 2012

Facebook harus jika ingin sampai maklumat benar

Berita Harian Online | Facebook harus jika ingin sampai maklumat benar

Facebook harus jika ingin sampai maklumat benar
Oleh Anwar Patho Rohman

2012/01/15

Rahsia diri, rakan, keluarga atau rumah tangga perlu disimpan di tempat selamat elak terdedah

BOLEH dikatakan majoriti rakyat Malaysia ketika ini mempunyai akaun Facebook (FB). Menurut laman web Social Times bertarikh 18 Mei 2011, 88.4 peratus pengguna internet di Malaysia memiliki akaun FB. Malah, Malaysia menjadi negara Asia Tenggara kedua tertinggi ketagih FB selepas Filipina.

Hal ini menunjukkan pengaruh FB sangat kuat sehingga menjadi laman sosial utama dalam kalangan rakyat Malaysia, selain laman sosial lain seperti Twitter.
Pengaruh FB dalam kehidupan kita memang kuat sehingga mendorong sesiapa saja, termasuk murid sekolah rendah sehingga ke usia pencen pun memiliki akaun FB. Kini, lebih 12 juta rakyat di negara ini pemegang akaun FB, majoritinya berusia antara 16 hingga 35 tahun.
Pengaruh FB ini begitu kuat sehingga baru-baru ini ulama pun turut terheret sama memberi pandangan, penjelasan dan menjatuhkan hukum terhadap mereka yang memiliki akaun FB.

Seorang ulama Iran baru-baru ini menetapkan Facebook bercanggah dengan ajaran Islam sekali gus berdosa menjadi ahlinya kerana menggalakkan perilaku tidak bermoral.

Ulama kanan itu, Ayatollah Lot-follah Safi-Golpaygani memberi pandangan perbuatan melayari mana-mana laman web yang menggalakkan perilaku tidak bermoral dan melemahkan pegangan agama, bercanggah dengan Islam dan tidak dibenarkan selain menjadi ahli adalah haram.

Mungkin pandangan beliau itu ada asasnya kerana setiap akaun FB mempunyai ikon atau pautan wall atau dinding atau tembok, yang menjadi tempat pemilik akaun menulis apa saja status mereka sama ada berbentuk luahan perasaan, pandangan, menghentam orang tertentu atau menjadi medan menyebarkan propaganda politik.
Mungkin ulama Iran ini secara tersirat mahu mengingatkan umat Islam bahawa pencipta FB ialah keturunan Yahudi dan mereka mengamalkan ritual agama di sebuah tembok di luar Masjid Al-Aqsa yang dipanggil sebagai Wailing Wall atau Tembok Ratapan.

Tembok ini dulunya dikenali sebagai Tembok Barat, tetapi dipanggil Tembok Ratapan kerana di situ orang Yahudi berdoa dan meratapi dosa mereka dengan penuh penyesalan. Selain mengucapkan doa mereka, orang Yahudi juga meletakkan doa yang mereka tulis pada sepotong kertas lalu disisipkan di celah Tembok Ratapan itu.

Bukankah konsepnya seperti menyamai dengan apa yang dilakukan penganut Yahudi dengan menulis doa lalu diselitkan di celah Wailing Wall, manakala pemilik akaun FB menulis status mereka pada wall masing-masing. Namun ini, hanyalah satu andaian yang mungkin mahu disampaikan tokoh ulama itu.

Ada yang berpendapat, menulis luahan hati pada wall FB seperti menebuk lubang di dinding rumah sendiri sehingga memudahkan orang luar mengintai ke dalam dan tahu semua kisah ‘dalam kain’ yang berlaku pada diri sendiri atau rumah tangga.

Tanpa disedari, kita sebenarnya mendedahkan kelemahan dan membuka aib sama ada diri sendiri atau orang lain sama ada di kalangan rakan, ahli keluarga malah suami atau isteri.

Kita tidak boleh berterus-terusan menyangka status FB kita tidak boleh menimbulkan kontroversi atau salah faham kerana realitinya, di luar sana begitu banyak mata yang membaca menilai kehidupan pemilik akaun FB. Itu baru soal status di wall dan belum lagi menyentuh isu memuat turun koleksi gambar peribadi ke dalam FB. Ada antara kita yang begitu teruja hendak menunjukkan kepada rakan atau saudara mara gambar mereka sehingga terlupa batas agama dan hukum halal haram dengan memasukkan gambar yang mendedahkan aurat diri sendiri dan orang lain.

Dalam hal ini, bagi umat Islam, kita wajar mengambil perhatian pendapat Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, yang menjelaskan hukum memiliki akaun FB adalah harus jika laman sosial itu digunakan untuk menyampaikan maklumat benar dan berinteraksi dengan lain secara berhemah.

Bagi umat Islam, kita pasti mengakui yang mempunyai laman sosial FB menjadi satu dosa besar dan dilarang dalam agama, jika digunakan atas tujuan mendatangkan mudarat, termasuk melemparkan fitnah, mencaci serta memburukkan orang lain.

Dari sudut keselamatan pula, FB dikatakan boleh menjadi sumber utama agensi perisikan untuk mendapatkan maklumat seseorang, organisasi, kerajaan atau negara tanpa disedari.

Ini kerana pemilik akaun FB yang mungkin ada antaranya pegawai tertinggi dalam pasukan keselamatan atau mereka yang bekerja di organisasi keselamatan atau pejabat kementerian dan kerajaan penting.

Kadangkala, mereka tidak menyedari mesej dan status yang ditulis mereka dalam FB atau Twitter sebenarnya dipantau penganalisis perisikan antarabangsa bagi mencuri maklumat atau mengetahui apa saja perancangan strategi keselamatan negara lain.

Perkara ini diakui sendiri oleh pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA), yang agensi itu memantau berjuta-juta mesej individu yang dihantar ke seluruh dunia setiap hari melalui rangkaian sosial seperti FB dan Twitter.

CIA dilaporkan mempunyai pasukan khas yang digelar sebagai vengeful librarians atau ‘pustakawan pendendam’ yang mempunyai tugas mengkaji rangkaian serta pusat media terbuka yang dibuat oleh individu di seluruh dunia dan melaporkan kepada Rumah Putih di Washington jika wujud mesej yang mengancam keselamatan negara atau kepentingan mereka di dalam atau luar negara.

Justeru, kita harus beringat supaya menyimpan rahsia diri, rakan, keluarga atau rumah tangga di tempat selamat dan bukan digantung di wall FB untuk tontonan umum kerana akhirnya ia mungkin merosakkan diri atau perhubungan sesama kita.

No comments: