Monday, August 16, 2010

Hukuman berat ikhtiar terbaik atasi buang bayi

Berita Harian Online
Oleh Datuk Manja Ismail

manja@bharian.com.my
2010/08/16

Keluarga, masyarakat tak boleh lepas tangan beri didikan agama


NAMPAKNYA pelbagai reaksi diberikan terhadap arahan Kabinet supaya polis menyiasat kes buang bayi yang menyebabkan kematian mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati mandatori. Sementara ramai yang bersetuju dengan langkah itu, ada juga menyuarakan kebimbangan bahawa hukuman berat saja mungkin tidak mampu membanteras gejala yang boleh dianggap perbuatan ‘jahiliah moden’ itu tanpa disusuli oleh langkah pencegahan menyeluruh dan berterusan terutama dari segi pendidikan. Bagaimanapun, semua pihak bersetuju bahawa kes pembuangan bayi di negara ini sudah ke tahap yang amat membimbangkan dan hampir setiap hari berita mengenainya dilaporkan.

Menurut statistik Jabatan Pendaftaran Negara, sejumlah 257,411 sijil pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf, dicatat dalam tempoh 2000 sehingga Julai 2008, sebahagian besarnya Melayu.

Fenomena inilah yang mendorong Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, sekali lagi membawa isu pembuangan bayi ke mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu. Sebelum ini, semua kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Dengan meletakkan siasatan kes membuang bayi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mereka yang disyaki terbabit boleh didakwa atas kesalahan percubaan membunuh atau menyebabkan kematian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika menjelaskan keputusan Kabinet itu kelmarin berkata, bukan semua kes buang bayi diklasifikasikan sebagai kes pembunuhan kerana polis perlu menyiasat terlebih dulu setiap kes sebelum Jabatan Peguam Negara membuat sebarang ketetapan untuk sabitkan sebagai kes bunuh.

“Keputusan Kabinet ialah tidak semestinya setiap kes buang bayi ini adalah kes pembunuhan. Kita tetapkan bahawa pihak polis siasat dan polis gunakan teknik moden seperti ujian DNA, untuk kenal pasti mak bapanya,” katanya.
Walaupun bersetuju dengan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah kes buang bayi, kita juga berkongsi pandangan bahawa ia tidak mungkin dapat membanteras gejala itu tanpa langkah-langkah lain terutama dari segi pendidikan sama ada agama atau moral di kalangan generasi muda. Sudah banyak kajian dibuat pelbagai pihak untuk mencari punca dan jalan penyelesaian bagi menangani masalah ini. Semua pihak akur bahawa gejala pembuangan bayi adalah kesan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Kita boleh menyalahkan apa saja seperti pengaruh Barat, pergaulan bebas atau mudahnya mendapat bahan pornografi daripada internet tetapi jika generasi muda kita dibenteng dengan kesedaran agama dan moral yang tinggi, keadaan tentunya tidak seburuk sekarang.

Namun, kita tentunya tidak boleh mengharapkan pendidikan agama dan moral di sekolah semata-mata. Di sinilah keluarga memainkan peranan penting dalam memberi didikan kepada anak serta mengawasi pergaulan mereka. Pada masa sama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat termasuk parti politik perlu memainkan peranan. Disebabkan majoriti kes buang bayi membabitkan remaja Melayu, NGO dan parti politik Melayu harus bergabung tenaga dalam mencari jalan membanteras gejala ini. Mereka boleh berbalah mengenai soal politik tetapi dalam soal membabitkan masa depan generasi muda Melayu/Islam, mereka sama-sama bertanggungjawab.

Daripada menuding jari dan saling menyalahkan, mereka sepatutnya memberi saranan yang praktikal dalam mengatasi permasalahan ini. Gejala buang bayi tidak mengenal negeri dan parti politik. Biarlah sokongan terhadap keputusan Kabinet mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah buang bayi minggu lalu sebagai permulaan kerjasama NGO dan pertubuhan politik Melayu menangani gejala yang memalukan ummah ini, dari peringkat akar umbi.

No comments: