Tuesday, February 23, 2010

Sabah&Sarawak: Makmal komputer tersadai

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
berita harian 24/2/10

MAKMAL komputer SMK Banggi, Pulau Banggi, Kudat terbengkalai dan menunggu peruntukan baru dalam RMK-10.
Pelajar tak berpeluang manfaat teknologi ICT

KOTA KINABALU: Sekolah di Sabah dibimbangi mewarisi sistem pendidikan konvensional sepenuhnya berikutan kontraktor dikesan gagal menyiapkan banyak projek makmal komputer di seluruh negeri itu. Malah, besar kemungkinan pelajar negeri itu terpaksa bergantung kepada buku ketika rakan sebaya mereka di Sarawak dan Semenanjung menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai rujukan tambahan. Menerusi ICT, pelajar bukan saja mampu melayari portal pendidikan dan perisian disediakan perunding pendidikan, malah boleh berkongsi maklumat mengenai sistem pembelajaran dan kaedah menjawab soalan bermutu tinggi daripada rakan sebaya di negeri lain.

Pengumuman Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mengenai penamatan kontrak pemaju Makmal Komputer Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi, Pulau Banggi, Kudat, awal tahun ini membuka ruang pendedahan lebih banyak makmal komputer sekolah terbengkalai di Sabah. Ibu bapa Sekolah Kebangsaan (SK) Labuan, Kota Belud mendakwa anak mereka terpaksa mempelajari komputer di sekolah menengah berikutan kegagalan kontraktor menyiapkan makmal komputer sekolah itu sejak setahun lalu.


BAHAN binaan makmal komputer SK Labuan, Kota Belud dibiarkan bertaburan dikhuatiri menjadi sarang ular. Kualiti makmal terbabit juga diragui kerana pintu tidak rata dan tiada pendawaian elektrik sedangkan bekalan komputer sudah ada manakala bahan binaan dibiarkan bertaburan dikhuatiri menjadi sarang ular. Difahamkan, 20 makmal komputer sekolah di daerah Kota Belud terbengkalai.

Exco Pelajaran Sabah, Datuk Masidi Manjun, mengakui menerima banyak laporan mengenai sebahagian besar makmal komputer di Sabah gagal disiapkan mengikut jadual. Katanya, ada makmal berkenaan menjadi projek gajah putih yang akhirnya merugikan pelajar kerana terpaksa menggunakan sepenuhnya sistem pendidikan konvensional. "Kegagalan pemaju menyiapkan makmal komputer mengikut jadual akan mewujudkan jurang digital pelajar kita dengan rakan sebaya mereka di Semenanjung dan Sarawak. Jika sekolah dekat jalan besar seperti Makmal Komputer SMK Kundasang, Ranau di laluan pantai barat ke pantai Timur Sabah terbengkalai, apatah lagi di pedalaman seperti Pulau Banggi, Pitas, Tenom, Long Pasia (Sipitang) dan Ulu Kalabakan, Tawau," katanya.

Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, turut menerima maklumat daripada Pejabat Jabatan Pelajaran Kota Belud mengenai banyak makmal komputer sekolah gagal disiapkan mengikut jadual di daerah itu. Katanya, sikap tidak bertanggungjawab kontraktor itu menjejaskan masa depan anak tempatan, sekali gus boleh menyebabkan usaha menghapus kemiskinan menerusi pendidikan sempurna tidak kesampaian. "Masalah itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia menghalang pembelajaran dan pengajaran (P&P) menggunakan ICT yang dengan sendirinya mewujudkan jurang digital antara murid di Sabah dengan negeri lain,"

Presiden Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (Cash), Datuk Patrick Sindu, berkata pihaknya turut menerima laporan mengenai kegagalan menyiapkan makmal komputer mengikut jadual. "Perkara itu serius kerana boleh menyebabkan generasi muda di negeri ini ketinggalan dan gagal bersaing. Pemaju yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual perlu bertanggungjawab dan jika didapati mereka ingkar, projek dan lesen mereka perlu dibatalkan. Tindakan tegas itu perlu dilaksanakan kerana ia merugikan pelajar kita yang dengan sendirinya meluaskan jurang digital sedia ada," katanya.

1 comment:

shu hana said...

x semua perancangan yg dirancang akan berjalan dengan lancar kalau ada sesetengah pihak yg x bertanggungjawab mcm ni.Yg sedihnya pelajar juga yg jd mangsa.
cmna pelAjar x ketinggalan klau cmni jadinya.x hairan la klau diorg buta iT.salah siapa?sendiri mau ingat...